Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya tiada kaitan' - Tian ulas gesaan 14 NGO agar MP Batu berundur

Bekas Anggota Parlimen Batu, Tian Chua menjarakkan dirinya berhubung gesaan 14 NGO agar penyandang kerusi parlimen itu, P Prabakaran meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada beliau bertanding semula kerusi itu pada pilihan raya kecil.

"Saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengannya.

"Saya hanya tahu mengenai cadangan itu melalui laporan berita semalam," kata naib presiden PKR itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Tian Chua sebelum ini dihalang daripada mempertahankan kerusinya selepas dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 oleh mahkamah atas dakwaan menghina anggota polis dan menggangu tugas penjawat awam.

Beliau memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang beliau daripada bertanding.

Pada 6 Nov lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan beliau layak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) yang diadakan pada 9 Mei tahun lalu.

Pakatan Harapan (PH) pada masa itu mengiktiraf pencalonan Prabakaran sebagai calon Bebas dan pelajar undang-undang berusia 22 tahun itu kemudiannya menyertai PKR tidak lama selepas memenangi kerusi berkenaan.

Akhbar Berita Harian semalam melaporkan bahawa gabungan 14 NGO di Batu menggesa Prabakaran meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada pilihan raya kecil diadakan.

Jurucakap kumpulan itu Mohd Helmie Mohamad Arof berkata mereka percaya Tian Chua mempunyai hak dan perlu diberi peluang untuk kembali berkhidmat kepada pengundi di Batu.

Tian Chua, berkata walaupun beliau memahami sentimen NGO berkenaan namun beliau hanya berhasrat merekodkan bagaimana SPR terkhilaf dalam keputusannya, dan bukannya mahu kembali ke Parlimen.

Persatuan Penduduk nafi

Sementara itu, dua persatuan penduduk di Batu hari ini juga menafikan menjadi sebahagian daripada 14 NGO terbabit.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sentul Jaya, Nasir Baba, kenyataan yang dilaporkan itu dikeluarkan tanpa pengetahuannya.

"Saya ingin menafikan dengan sekeras-kerasnya berita itu yang di luar pengetahuan saya.

"Saya tak mengenali Mohd Helmie Mohamad Arof wakil NGO parlimen Batu seperti mana yang ditularkan dalam media sosial media bertarikh 13 November," kata Nasir dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan PPR Beringin Abdul Majid Januddin dalam kenyataan berkata, beliau tidak tahu mengenai gesaan agar Prabakaran meletak jawatan.

"Kami tidak tahu menahu kes ini dan kami percaya ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama persatuan kami.

"Kami berharap pihak yang terlibat boleh muncul diri dan jangan berdiri di belakang atas nama orang lain," katanya.

Lihat Komen
ADS