Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya sangat gembira apabila hujah saya berkenaan isu BMF (utamakan barangan Muslim) di parlimen semasa membahaskan Belanjawan 2020 di peringkat jawatankuasa pada Khamis lalu mendapat perhatian Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Muez Abdul Aziz.

Saya menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada beliau atas respon tersebut.

Sebagai ketua setiausaha yang bertanggung jawab, beliau mengambil langkah memberikan maklum balas di kala hujah saya di parlimen itu tidak disanggah oleh mana-mana ahli parlimen kerajaan, dan tidak disentuh langsung oleh timbalan menteri yang menggulung perbahasan, walaupun saya berkali-kali meminta beliau memberikan maklum balas sama ada setuju atau tidak.

Ketika terdapat beberapa ahli parlimen bersetuju supaya timbalan menteri memberikan jawapan bertulis kerana kesuntukan masa, saya tetap merayu agar beliau memberi maklum balas kepada apa yang saya bangkitkan secara lisan.

Namun sehingga ke akhir ucapannya, tiada maklum balas dari Timbalan Menteri.

Walaupun tajuk dari kenyataan ketua setiausaha kementerian dalam Sinar Harian semalam (Sabtu, 15 Nov) itu berbunyi: "BMF tidak turunkan harga barang" namun isinya sangat menepati apa yang saya hujah dan cadangkan.

Saya sendiri menyetujui 100 peratus apa yang dijelaskan oleh beliau. Sebagai pegawai kerajaan beliau telah membuat yang terbaik.

Pertama, semasa memulakan ucapan dalam tajuk berkenaan, saya menyatakan bahawa saya menyokong program kerajaan iaitu Beli Barangan Buatan Malaysia dengan hujah ia boleh mengurangkan aliran keluar wang negara.

Ini disetujui oleh ketua setiausaha kementerian dengan membuat penegasan KPDNHEP sedang bekerja keras untuk mempromosikan kempen Beli Barang Buatan Malaysia.

Beliau seterusnya menyatakan - atau mengesahkan - bahawa harga barang dan produk adalah berdasarkan kepada tawaran oleh pengilang, pembekal serta peruncit, pengilang, pembekal dan peruncit memberikan diskaun mengikut tempo tertentu di pasar raya atau premis perniagaan, menyebabkan sesuatu produk itu menjadi lebih murah.

Seterusnya beliau menambah, ia bergantung kepada inisiatif dan kempen jualan oleh peniaga untuk menarik perhatian pengguna.

Untuk pengetahuan pengguna seluruh negara, itulah pun gerak kerja spontan dalam kempen BMF yang telah menurunkan harga barangan. Ia bukan satu gerak kerja untuk memboikot sesiapa selain pengkhianat yang mengotorkan makanan dan menaikkan harga barang melampau.

Akhirnya ketua setiausaha KPDNHEP menyatakan, kalau ada sekalipun BMF, ia sudah ada dalam kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.

Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kerana hanya itupun yang saya pohon, iaitu dimasukkan dalam kempen Beli Barangan Buatan Malasia, dan jangan dihalang usaha murni BMF ini.

Ia akan membawa kebaikan pada seluruh rakyat dalam negara, baik Muslim atau bukan Muslim.


CHE ABDULLAH MAT NAWI ialah anggota parlimen Tumpat merangkap Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS