Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jamal Yunos: Saya tak suruh presiden Umno rehat semula

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos menafikan dakwaan beliau ada mengeluar kenyataan meminta supaya Ahmad Zahid Hamidi bercuti seketika daripada menjalankan tugas sebagai presiden parti sehingga kesnya di mahkamah selesai.

"Saya tidak pernah buat sebarang kenyataan berkenaan dengan Ahmad Zahid ketika beliau sedang menghadapi perbicaraan hari ini.

“Bagi saya kenyataan media tersebut adalah satu kenyataan yang berniat jahat, yang sengaja ingin memecah belahkan keutuhan kami di kalangan pemimpin Umno," katanya ketika dihubungi oleh Malaysiakini.

Terdahulu tersebar kononnya kenyataan media daripada Jamal yang meminta Ahmad Zahid untuk kembali bercuti sementara waktu.

Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan ketika menjadi pemegang amanah, Yayasan Akalbudi, presiden Umno itu didakwa tidak menyalurkan walau satu sen pun daripada dana RM31 juta untuk kegiatan membantu golongan miskin dan memerlukan.

Ahmad Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri sedang dibicarakan berhubung 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Mengulas lanjut, Jamal berkata beliau sehingga kini memberikan sokongan penuh kepada presiden parti itu.

"Saya memberikan sokongan penuh kepada Zahid untuk terus menerajui dan memimpin Umno kerana beliau telah pun diberikan mandat oleh perwakilan Umno pada pemilihan yang lepas," katanya.

Kata Jamal, segala pertuduhan yang disabitkan itu bermotifkan politik semata-mata.

"Kalau kita lihat kalau bukan daripada pemimpin Umno apa jua pertuduhan yang sedang berlaku semuanya dilepaskan dari sebarang pertuduhan.

"Jadi, tuduhan-tuduhan yang dikenakan kepadanya ini adalah bermotifkan politik semata-mata dan ingin melemahkan semangat beliau serta memecah-belahkan ahli-ahli Umno.

"Saya harap Ahmad Zahid terus bersemangat untuk memimpin Umno," katanya

Sebelum ini, presiden Umno itu mengumumkan bercuti daripada menjalankan tugas pada 18 Disember tahun lalu ketika desakan agar beliau meletakkan jawatan memuncak dengan beberapa anggota parlimen bertindak keluar parti.

Bagaimanapun, pada 30 Jun lalu Ahmad Zahid mengumumkan kembali menyambung tugas sebagai presiden Umno.

Pengumuman Zahid itu - enam bulan setelah peralihan tugas - berisiko membuka semula pertembungan dalam parti.

Lihat Komen
ADS