Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) Hilman Idham akan mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin AMK peringkat cabang esok.

Hilman merupakan setiausaha politik Azmin di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Timbalan Presiden PKR itu kini menjadi kontroversi susulan perjumpaannya dengan ahli-ahli parlimen Umno, semalam.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Naib Ketua AMK Mohd Nazree Mohd Yunus mengesahkan bahawa dia telah menyusun mesyuarat itu dan menghantar jemputan hari ini.

Mohd Nazree juga mengesahkan bahawa pemimpin AMK negeri yang dilantik Ketua Pemuda PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir tidak dijemput.

"Pemimpin (AMK) negeri tidak berada dalam senarai (jemputan) kami ... Kami akan memberi tumpuan kepada mereka yang dipilih dan bukan mereka yang dilantik," katanya.

Mohd Nazree berkata agenda mesyuarat itu adalah isu politik semasa. Ditanya sama ada dia akan menghadiri mesyuarat majlis pimpinan pusat AMK pada 24 Nov, Nazree berkata dia belum membuat keputusan.

Mohd Nazree Mohd Yunus.

Mesyuarat yang dijadualkan pada 24 Nov ini akan berlangsung sebelum mesyuarat majlis kepimpinan pusat menyusul pada hari sama.

Ketika dihubungi, Akmal berkata mesyuarat yang disusun Mohd Nazree kemungkinan "mesyuarat pintu belakang".

"Nasihat saya kepada mereka adalah sila datang ke mesyuarat pada 24 Nov. Ketika ini kita perlu bertemu secara rasmi ...

"Jangan buat puak-puak dalam parti. Hadir mesyuarat, dan kita boleh mengadakan perbincangan," katanya.

Perkembangan itu hadir ketika Azmin mengadakan beberapa perjumpaan dengan ahli parlimen BN dan PKR.

Perjumpaan pertama berlangsung malam tadi di kediaman rasmi Azmin di Putrajaya.

Sementara perjumpaan kedua berlangsung di parlimen hari ini.Hanya ahli parlimen PKR yang dijemput.

Lihat Komen
ADS