Dilancarkan pada 20 November 1999, Malaysiakini hari ini meraikan ulang tahun ke-20 dengan terus membekalkan berita dan pandangan yang penting.
Sejak dua dekad lalu, Malaysiakini telah menerbitkan lebih 500,000 berita dan kini menjangkaui lebih lapan juta pembaca setiap bulan.
Laporan Institut Berita Digital Reuters 2019 baru-baru ini, menamakan Malaysiakini sebagai laman berita terunggul di negara ini. Kajian pasaran British dan analisis data firma The YouGov menunjukkan bahawa 44 peratus pembaca dalam talian negara ini telah melawat portal berita itu dalam tempoh tujuh hari lalu.
"Daripada 38 negara yang dikaji, Malaysiakini mungkin satu-satunya organisasi media yang mempunyai jangkauan dalam talian yang begitu meluas.
"Ini benar-benar luar biasa terutamanya untuk laman web yang bermula sebagai media gerila dengan hanya tiga wartawan 20 tahun lalu," kata pengasas bersama dan ketua editor kumpulan, Steven Gan.
Malaysiakini juga berbangga bukan hanya kerana ia bebas daripada pengaruh politik daripada mana-mana parti tetapi pada masa yang sama berjaya megekalkan kemampanan kewangannya ketika kebanyakan organisasi media lain bergelut untuk terus beroperasi.
"Kami sama ada tidak rugi mahupun untung ataupun hanya membuat keuntungan kecil selama bertahun-tahun.
“Malaysiakini mesti terus berdaya maju dari segi kewangan jika ia kekal bebas," kata pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif, Premesh Chandran.
"Ia adalah antara beberapa pertubuhan media yang dimiliki oleh majoriti mereka yang bekerja bersamanya. Kedua-dua Steven dan saya ingin memastikan bahawa berterusan dan kami akan membuat pengumuman khas Sabtu ini," kata pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif, Premesh Chandran.
Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang untuk kejayaan Malaysiakini.
"Ia adalah perjalanan yang panjang, penuh dengan liku-liku yang mencabar, tetapi amat berbaloi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Malaysiakini, pada masa lalu dan sekarang, yang telah membina syarikat ini bersama, serta semua pembaca, pelanggan, penderma dan pemegang saham kami. Dengan semua anda dan sedikit nasib, kami berjaya melakukannya! " kata Premesh.
