Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR beri Azmin masa perjelas pertemuan sulit, tak hadir mesyuarat

PKR masih terbuka untuk memberikan masa kepada timbalan presiden parti, Mohamed Azmin Ali menjelaskan sebab beliau terus tidak hadir mesyuarat biro politik dan terbaru pertemuannya dengan MP Umno.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil ketika ditanya pemberita memberitahu tidak ada tempoh akhir ditetapkan kepada Azmin berbuat demikian.

Ini walaupun presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa supaya menteri hal ehwal ekonomi itu hadir mesyuarat biro politik parti yang di adakan di parlimen malam ini.

"Saya fikir ini bacaan kamu (pihak media) terhadap keadaan. Kami masih terbuka," kata Fahmi.

Beliau menjawab soalan wartawan sekiranya Azmin telah melanggar disiplin parti apabila terus tidak hadir mesyuarat.

"Kami tidak menetapkan tarikh akhir untuk (Azmin membuat penjelasan)," kata Fahmi.

Apabila disoal lanjut mengenai jangkaan Anwar supaya Azmin hadir dan membuat penjelasan pada malam ini, Fahmi menjawab: "Beliau sepatutnya hadir setiap mesyuarat.

"Barangkali beliau mempunyai urusan penting yang perlu dihadirinya... mungkin media perlu tanya kepada beliau," katanya.

Mesyuarat biro politik PKR di parlimen malam ini dipengerusikan Anwar yang berlalu pergi tanpa bertemu pihak media.

Kata Fahmi, pemimpin PKR yang hadir mesyuarat malam ini tidak membincangkan secara khusus pertemuan Azmin dengan MP Umno di kediaman rasminya di Putrajaya pada malam Isnin lalu dan mesyuarat bersama beberapa MP PKR di parlimen semalam.

"Kita tak bincang secara khusus. Sama seperti isu pertemuan beliau dengan MP BN.

"Kita perlukan beliau untuk hadir beri maklumat penuh sebelum kita boleh mengesahkan maklumat itu. Kita tidak boleh terlalu senang mempercayai apa yang disebut," katanya.

Apabila ditanya mengenai tindakan PKR pada masa lalu memecat bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim kerana tidak mematuhi arahan parti, Fahmi bertegas tidak timbul isu tindakan disiplin terhadap Azmin sekarang.

Jelasnya, keadaan tidak sama seperti kes Abdul Khalid sebelum ini.

"Jadi pendekatan perlu berdasarkan kes demi kes," kata Fahmi.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa Majlis Tertinggi Bersatu hari ini membincangkan isu kemungkinan rombakan kabinet, Fahmi berkata mesyuarat biro politik PKR tidak membincangkan hal tersebut.

"Saya percaya kepimpinan mungkin akan dapat berbincang dengan lebih teliti apabila mereka bermesyuarat pada Majlis Presiden PH pada Sabtu ini," katanya.

Fahmi juga berkata, Pengarah Konvensyen PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dijangka akan mengeluarkan kenyataan mengenai konvensyen PKR Sarawak di tengah-tengah bantahan Pengerusi PKR negeri, Baru Bian.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS