Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hilman: 'AMK bertegas Azmin perlu rasmikan kongres pemuda pusat'

Perasmian Kongres Nasional AMK Pusat perlu diteruskan mengikut tradisi organisasi dengan ucapan dasar disampaikan oleh timbalan presiden parti, Mohamed Azmin Ali, kata Timbalan Ketua Pemuda PKR Muhammad Hilman Idham.

"Perasmian Kongres Nasional AMK Pusat akan diteruskan mengikut tradisi dan konvensyen organisasi dengan ucapan dasar oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pada 5 Disember 2019 di MITC Melaka bersama-sama dengan sayap Wanita PKR.

"Seluruh pergerakan dan perwakilan AMK di peringkat nasional, cabang dan ranting akan digerak untuk mempertahankan tradisi dan konvensyen PKR," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat lebih tiga jam bersama pemimpin AMK.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan para pemimpin AMK negeri yang dilantiknya tidak dijemput hadir pertemuan itu.

Menurut Hilman yang juga setiausaha politik kepada Azmin, kumpulannya mendapat sokongan 132 daripada 196 ketua pemuda AMK yang hadir pada mesyuarat pemuda malam ini. 

"Pada malam ini saya telah pengerusikan satu mesyuarat untuk kita dengar pandangan dan pendirian rakan-rakan Angkatan Muda Keadilan baik di peringkat nasional mahupun di peringkat cabang.

"Ada 132 kepimpinan angkatan muda cabang yang hadir untuk nyatakan pandangan pada kita," katanya kepada pemberita.

Sebelum ini, konflik tercetus apabila Ketua Pemuda AMK Akmal Nasir membelakangi tradisi dengan tidak mengundang Azmin, sebaliknya menjemput penasihat PKR Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri untuk merasmikan kongres pemuda PKR pada awal Disember ini.

Bagaimanapun, tindakan itu dibantah oleh sebahagian besar - 21 daripada 25 - kepimpinan pusat AMK yang menang dalam pemilihan lalu, termasuk Hilman.

Adun Gombak Setia itu juga berkata keputusan itu muktamad dan perasmian itu juga telah dipersetujui oleh Ketua Wanita PKR Haniza Talhah.

"Belum pernah ada dalam sejarah perasmian kongres ini kita buat perasmian penutup.

"Jadi sebab itu kita akan teruskan perasmian pembukaan ucapan dasar oleh timbalan presiden pada 5 Disember bersama-sama dengan sayap wanita PKR," katanya.

Pertahan kepimpinan Dr M

Sementara itu, Hilman turut menyatakan AMK terus mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ini selepas timbul gesaan supaya Dr Mahathir berundur susulan kekalahan teruk PH pada PRK Tanjung Piai.

"Bermuafakat untuk mempertahankan kestabilan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Mahathir daripada sebarang usaha atau langkah yang bertujuan untuk mengganggu gugat kedudukan serta peranan beliau sebagai perdana menteri Malaysia yang ketujuh.

"Ini adalah soal mandat yang diberikan oleh rakyat dan saya sebut tadi bila sampai masanya Tun buat keputusan, kita terima dengan baik tetapi kita sebut jelas dalam kenyataan kita bahawa kita akan pertahankan sebarang usaha-usaha yang akan undermine the current government (menjejaskan kerajaan sedia ada) pada hari ini," katanya.

Untuk rekod, sebelum PRU lalu, PH menjadikan Mahathir sebagai calon perdana menteri berdasarkan persetujuan beliau akan menyerahkan kedudukan itu kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Mahathir pada mulanya berkata akan memegang jawatan itu selama kira-kira dua tahun, tetapi dalam beberapa wawancara berkata ia mungkin boleh mengambil masa sehingga tiga tahun.

Hilman juga berkata mesyuarat pemimpin AMK malam ini turut menzahirkan solidariti kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak.

"Bermuafakat dan bersolidariti dengan kepimpinan MPN Sarawak yang tuntas mempertahankan idealisme dan prinsip perjuangan PKR yang luhur," katanya lagi.

PKR Sarawak kekal dengan pendirian mereka untuk membatalkan konvensyen peringkat negeri parti itu yang dijadualkan berlangsung pada 23 Nov nanti.

Pengerusinya, Baru Bian, berkata pembatalan itu adalah keputusan majoriti ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR dan bukannya keputusan peribadi beliau pengerusi.

Pada 15 Nov lalu MPN Sarawak mengeluarkan kenyataan mengancam untuk membatalkan konvensyen berkenaan ekoran pembatalan jemputan kepada Azmin Ali bagi merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR.

Lihat Komen
ADS