Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kurang satu peratus dana RM150 bilion 1MDB berjaya dibawa pulang

PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa lebih kurang RM1.5 bilion wang dan aset berkaitan dana 1MDB yang didakwa diselewengkan berjaya dibawa pulang setakat ini.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata jumlah itu hanya satu peratus daripada dana RM150 bilion berkaitan 1MDB yang dianggarkan oleh kerajaan sebagai hilang atau dicuri.

"Saya hanya boleh menjawab melalui apa yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) pada masa perbahasan Bajet (2020), di mana telah pun diumumkan bahawa lebih kurang dalam RM150 bilion, telah pun dilaporkan hilang atau pun dicuri.

"Di situ telah pun kembali ada RM1.5 bilion, jadi hanya kurang 1 peratus sahaja daripada RM150 bilion dibawa pulang daripada apa yang telah pun ditetapkan kerajaan," katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian).

Terdahulu, Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS mengemukakan soalan tentang jumlah wang dan aset berkaitan 1MDB yang telah berjaya dibawa pulang, setakat ini.

Pada 29 Oktober lalu, Lim berkata, bahawa kerajaan mendapati kerosakan dan penyelewengan oleh kerajaan BN terdahulu adalah lebih teruk daripada yang disangkakan.

Liew juga memberitahu Dewan Rakyat bahawa antara tujuan penubuhan Pusat Jenayah Anti-Kewangan Kebangsaan (NAFCC) adalah untuk mengembalikan wang dan aset 1MDB di luar negara.

"Setakat ini kita telah pun menguruskan NAFCC untuk menjadikan satu pusat koordinasi untuk mengkordinatkan semua agensi-agensi berkenaan untuk mencarikan wang-wang telah pun disimpan di luar negara.

"Jadi ini adalah satu inisiatif yang telah pun dibuat oleh kerajaan untuk memastikan wang-wang yang telah pun disimpan dapat dikembalikan kepada negara untuk manfaatkan rakyat kita di sini," katanya.

Lihat Komen
ADS