Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

KES PINDA LAPORAN AUDIT l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendengar bagaimana eksekutif dan tokoh 1MDB yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak berkonspirasi untuk meminda salinan akhir laporan audit 1MDB dan memastikan semua versi asal itu dimusnahkan pada tahun 2016.

Tampil sebagai saksi pendakwaan kelima, bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa berkata beliau mempengerusikan mesyuarat 24 Februari 2016 yang turut dihadiri oleh CEO 1MDB Arul Kanda, ketua setiausaha sulit Najib ketika itu, Nancy Shukry Mohd Salleh, ketua audit negara ketika itu, Ambrin Buang dan bekas pegawai Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah.

Ketika itu, NAD telah mencetak 60 salinan laporan audit tersebut. Enam daripada salinan itu diedarkan kepada Najib, Shukry, Arul, Ambrin, Ali dan pegawai Jabatan Peguam Negara Dzulkifli Ahmad pada 22 Feb 2016.

Berdasarkan rakaman audio yang diperdengarkan kepada mahkamah hari ini, Ali adalah orang yang membuat cadangan bahawa laporan audit asal harus dicarik.

"Oleh kerana kesimpulan pada akhir (mesyuarat) mengatakan tidak boleh ada dua atau tiga versi.

"Sebab kesimpulan pada akhir (mesyuarat itu), tidak perlu ada dua atau tiga versi (Laporan Audit 1MDB).

"Jadi, apa juga versi akhir yang dipersetujui perlu tidak berubah," kata Ali ketika menjawap soalan Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram mengenai cadangannya itu.

Semalam, Ali menegaskan dalam penyataan saksinya bahawa mesyuarat itu diadakan atas arahan Najib yang mahu penyelarasan dalam Laporan Audit 1MDB.

Najib, 66, diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili peguam N Sivananthan.

Beliau didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini bersambung esok.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS