Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MOU pengambilan pekerja antara Malaysia-Bangladesh ditunda lagi

Perbincangan dua hala mengenai syarat-syarat baru pengambilan pekerja asing Bangladesh di negara ini nampaknya ditangguhkan.

Sumber memberitahu Malaysiakini, mesyuarat Kumpulan Kerjasama (JWG) Malaysia-Bangladesh ke-4 yang dijadualkan berlangsung di Dhaka, Bangladesh, hari ini dan semalam telah ditangguhkan.

"Mesyuarat itu tidak jadi ... tiada tarikh tertentu ditetapkan (bagi mesyuarat yang akan datang)," kata sumber dari Kementerian Sumber Manusia.

Sumber itu juga mengesahkan bahawa Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, yang dijangka mengetuai delegasi kementeriannya ke Dhaka, sebaliknya melakukan lawatan kerja di New Delhi, India.

Menurut laman rasmi Facebook kementerian, Kulasegaran telah menyampaikan satu kenyataan di sebuah persidangan di New Delhi pada Sabtu lalu yang mempromosikan penggunaan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) untuk rawatan pemulihan perubatan.

Pada September, mesyuarat JWG terdahulu yang sepatutnya diadakan ketika itu di Dhaka juga telah ditangguhkan.

Mesyuarat JWG ke-3 telah berlangsung di Putrajaya pada 6 November dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak bahawa perkara yang akan dibincangkan adalah panduan bagi kedua-dua negara dalam untuk mencapai draf protokol meminda perjanjian yang telah ditandatangani pada 2016.

Perkara yang turut dibincangkan termasuk pelaksanaan mekanisme yang melibatkan penyertaan kedua-dua kerajaan, serta agensi pengambilan dari kedua-dua negara.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Kulasegaraan dan Menteri Kebajikan dan Pekerjaan Pekerja Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad.

Pada ketika itu diumumkan mesyuarat ke-4 JWG akan diadakan di Dhaka pada 24 Nov dan 25 Nov dan dijangka suatu majlis menandatangani perjanjian bakal berlangsung pada akhir bulan ini.

Pada 1 Sept tahun lepas, Putrajaya menggantung Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) untuk pekerja Bangladesh, yang hanya membenarkan proses pengambilan oleh 10 agensi yang terpilih.

Sistem terdahulu menyaksikan setiap pekerja Bangladeshi perlu membayar yuran sehingga RM20,000 bagi proses pembayaran kepada ejen bagi memudahkan kelulusan permit kerja dan urusan lain untuk berkerja di Malaysia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS