Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cubaan pembangkang malam tadi menyeronokkan, kata Hanipa

Pembangkang hari ini menerima ucapan penghargaan dan tahniah daripada kerajaan kerana didapati berjaya mempelajari helah PH sewaktu zaman BN.

"Tahniah diucapkan kepada pembangkang... sekarang kamu dah dapat mempelajari helah yang ada," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin, di lobi parlimen hari ini.

Terdahulu ahli parlimen Sepang itu ditanya mengenai kekecohan sewaktu undi belah bahagi dalam Dewan Rakyat bagi meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat malam tadi.

Dalam proses itu ahli parlimen pembangkang meminta agar undi belah bahagi dibuat bagi menentukan sama ada peruntukan berkenaan boleh diluluskan atau tidak.

Dalam undian kali pertama seramai 32 ahli parlimen kerajaan menyokongnya dan 28 wakil pembangkang menolak. Apabila undian kali kedua dibuat usul itu menerima 45 undi menyokong dan jumlah menolak kekal 28.

Selain undi belah bahagi, sesuatu usul juga kadang-kadang diluluskan dengan undian suara dan keputusannya ditentukan speaker Dewan Rakyat.

Kata Hanipa pembangkang sebenarnya meniru apa yang pernah dilakukan PH sewaktu gabungan membabitkan PKR, Bersatu, Amanah dan DAP itu belum menjadi kerajaan.

Susah nak berlama-lama

Ditanya sama ada kerajaan bimbang dengan kejadian itu, Hanipa berkata, ia sebaliknya sesuatu yang menyeronokkan.

"Kamu tulis itu - ia menyeronokkan," katanya.

Hanipa juga berpendapat tindakan diambil pembangkang malam tadi adalah wajar kerana ia menunjukkan mereka sudah mempelajari apa yang sepatutnya dilakukan.

Sebelum ini, kata beliau, kerajaan BN melakukan banyak kerosakan dan PH giat membetulkan masalah yang ada.

"Sekarang mereka buat masalah dan berseronok... tak ada masalah," katanya.

Pada masa sama pemimpin Amanah itu mengingatkan tidak mudah untuk ahli parlimen terus-terusan berada dalam Dewan Rakyat. Pun begitu, katanya, kebiasaannya ada ahli parlimen kerajaan yang mencukupi dari semasa ke semasa.

"Kalau kamu jadi ahli parlimen, kamu akan tahulah... sukar untuk kami berada di tempat masing-masing dalam tempoh yang terlalu lama. Kadang-kadang sejuk sangat.

"Namun ini normal. Kita tak boleh harapkan semua ahli parlimen berada dalam dewan pada setiap masa.

"Semasa zaman BN pun benda ni biasa. Sebab itu kita ada loceng untuk speaker bunyikan (kalau korum tak cukup). Ini isu kecil," katanya.

Lihat Komen
ADS