Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Konflik dalaman PKR Melaka selesai, kata Anwar

Konflik dalaman PKR Melaka berhubung pelantikan pengerusinya sebagai senator telah selesai, menurut Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan pertemuan antara Pengerusi PKR Melaka Halim Bachik dengan dua exco negeri, Ginie Lim dan Jailani Khamis, di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.

Pertemuan itu usulan ketiadaan Lim dan Jailani di Dewan Undangan Negeri Melaka pada Isnin lalu, sebelum pengundian untuk melantik Halim sebagai senator.

Anwar berkata kedua-dua adun itu juga telah memberi penjelasan dan memohon maaf kerana menyebabkan kekeliruan wujudnya masalah dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka.

"Mereka mahu ikut proses yang betul dan sokongan mereka kepada kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri Adlu Zahari tidak berbelah bahagi.

"Mengenai isu senator, yang pada mulanya dicadangkan Halim (dilantik), ia dintangguh mengikut jadual (sidang DUN).

"Perkara itu akan ikut proses perbincangan dalam parti, dan tak perlu disegerakan kerana sidang DUN (seterusnya) hanya akan berlangsung Mac depan," kata Anwar.

Pada masa sama PKR Melaka semalam mengeluarkan kenyataan untuk mendesak lembaga disiplin parti itu mengambil tindakan tegas terhadap Lim dan Jailani.

Menurut Ketua Penerangan PKR Melaka Mohammad Shariff Md Isa, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat majlis pimpinan negeri (MPN) pada 25 November lalu.

"Tindakan mereka telah mencemarkan imje PKR dan Anwar sebagai presiden parti, seterusnya mencemarkan imej kerajaan PH.

"Maka MPN Melaka sebulat suara mendesak agar lembaga disiplin mengambil tindakan tegas dan sewajarnya kepada mereka bagi menghormati keputusan MPN," katanya lagi.

Pertemuan itu dipercayai bermula kira-kira pukul 3.15 petang ketika Lim tiba di pejabat Anwar di Bukit Gasing itu. Jailani tiba kira-kira sejam kemudian, sebalik sebelum sidang media berlangsung.

Lim yang dilihat senyum ketika ketibaannya tampak sukar untuk berbuat demikian selepas pertemuan itu.

Halim yang ditemani Adun Klebang Gue Teck, juga dengan raut wajah yang serius.

Anwar berkata pihak yang terlibat turut membincangkan dakwaan kronisme dan nepotisme dalam PKR Melaka, dan menyifatkannya sebagai "kekhilafan penafsiran".

"Kita bincang dan semua ini dirumuskan kerana ada kekhilafan penafsiran. Maknanya tidak berbangkit lagi.

"Apa yang berbangkit ialah ruang untuk berunding dan berbincang mengikut proses. Itu yang diminta mereka dan saya setuju," katanya lagi.

Anwar berkata persetujuan yang dicapai membatalkan kenyataan PKR Melaka yang mendesak kedua-duanya dikenakan tindakan tegas.

Sementara itu, Lim berkata pelantikan Halim sebagai senator akan dibincangkan dalam PKR Melaka kemudian.

"Belum. Apa yang penting kita minta proses perbincangan dibuat agar kita boleh buat keputusan terbaik," katanya.

Beliau juga menyuarakan penghargaan kepada Anwar atas usaha mencari penyelesaian dalam soal itu.

Halim berkata beliau turut menerima keputusan yang dicapai.

"Kita akan berbincang dalam parti untuk mencari kata putus terbaik untuk mantapkan parti dan menyokong kerajaan negeri," katanya.

Menurut laporan, usul untuk mencalonkan Halim sebagai senator Isnin lalu tewas dengan satu undi, ekoran tindakan Lim (Machap Jaya) dan Jailani (Rembia) yang meninggalkan sidang sebelum undian.

Tindakan itu mencetuskan khabar angin wujud ketidakstabilan dalam PH Melaka.

Ia dihangatkan lagi dengan kenyataan ketua pembangkang negeri Idris Haron sehari kemudian, bahawa kesemua 13 adun pembangkang sedia menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap Adly.

Bagaimanapun spekulasi itu disangkal Lim dan Jailani pada hari sama, yang berkata tindakan mereka tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

Lihat Komen
ADS