Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Saksi tiada jawatan tentukan Felda beri mandat beli hotel

Peguam Salehuddin Saidin yang mewakili bekas Pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad mendakwa Erwan Aman selaku setiausaha lembaga Felda tidak mempunyai jawatan untuk memberitahu mahkamah bahawa Felda Investment Corporation (FIC) perlu mendapatkan kelulusan lembaga Felda dalam pelaburan melebihi RM100 juta.

Salehuddin mendakwa tugas Erwan selaku setiausaha hanya mengurus, mengatur dan mengendalikan mesyuarat lembaga Felda dan tidak mempunyai jawatan untuk menentukan bahawa FIC tidak mendapatkan kelulusan daripada lembaga Felda dalam urusan pembelian Hotel Merdeka Palace di Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta pada tahun 2013.

Salehuddin: Tugas kamu sebagai setiausaha hanya mengambil maklum (isu-isu yang dibincangkan) mesyuarat?

Erwan: Ya

Salehuddin: Kenapa kamu tidak beritahu (ahli lembaga Felda perlu memberi kelulusan kepada FIC dalam urusan pembelian hotel)?

Erwan: Itu bukan tugas saya.

Salehuddin: Jadi, kamu tidak mempunyai jawatan untuk memberi pandangan adakah FIC perlu mendapat kelulusan atau tidak daripada Felda?

Erwan: Setuju.

Salehuddin: Kamu hanya tahu sebahagian kecil maklumat (atas pembelian Hotel Merdeka Palace) yang hanya dimaklumkan dalam minit sahaja.

Erwan: Setuju.

Bagaimanapun, Erwan menjelaskan bahawa edaran minit diberikan kepada semua ahli lembaga Felda yang menyatakan syarat bahawa pelaburan melebihi RM100 juta perlu mendapatkan kelulusan.

Ketika Salehuddin bertanya di manakah edaran minit itu, Erwan menjawab perlu disemak semula.

Terdahulu, Erwan yang merupakan saksi pendakwaan ke-19 mengesahkan di mahkamah bahawa pembelian Hotel Merdeka Palace oleh Felda Investment Corporation (FIC) tidak mendapat mandat ahli lembaga pengarah Felda untuk kelulusan.

Menurutnya, pembentangan laporan kemajuan FIC bukanlah merupakan permohonan bagi mendapatkan kelulusan pelaburan pembelian hotel daripada ahli lembaga Felda.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan salahguna kuasa dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan yang masuk hari ke-13 hari ini diadakan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Nazlan kemudian menetapkan perbicaraan bersambung pada 13 dan 14 Januari selepas timbalan pendakwa raya memberitahu masih ada tiga saksi akan dipanggil.

Lihat Komen
ADS