Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid yakin 7 negeri akan larang perkahwinan kanak-kanak nanti

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof yakin dapat meyakinkan tujuh negeri yang sebelum ini enggan melarang perkahwinan bawah umur, untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun pada masa akan datang.

Beliau berkata harapan masih ada kerana tujuh negeri itu pada masa sama setuju untuk mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang untuk meluluskan permohonan untuk perkahwinan bawah umur.

"Ada dua isu - satu menetapkan had umur daripada 16 ke 18 tahun. Ini tujuh negeri tidak setuju.

"Tetapi mereka setuju (untuk) satu lagi isu) - mengetatkan undang-undang dan SOP (untuk perkahwinan bawah umur).

"Ini bermakna ada harapan untuk meyakinkan mereka bahawa lebih baik kita menetapkan had umur 18 tahun sebagai undang-undang," katanya yang merupakan menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur.

Beliau ditanya pemberita berkenaan apa yang boleh dilakukan kementeriannya untuk meyakinkan tujuh negeri tersebut untuk melarang perkahwinan bawah umur.

Tujuh negeri tersebut ialah Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

Ditanya sama ada kerajaan persekutuan menetapkan tempoh masa untuk negeri-negeri tersebut meminda SOP, Mujahid berkata tiada tempoh yang ditetapkan tetapi rundingan sedang dibuat.

"Tiada tempoh masa. Rundingan berjalan dan melibatkan antara lain Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.

Pada 19 November lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tujuh negeri itu menolak cadangan kerajaan persekutuan untuk meminda enakmen negeri berhubung perkara itu.

Wan Azizah juga berkata kementeriannya dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

Lihat Komen
ADS