Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pertemuan di luar kongres tak wakili parti, kata Anwar

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata mana-mana pihak bebas untuk mengadakan sebarang pertemuan tetapi acara itu bukan kongres parti tersebut yang bakal berlangsung pada minggu ini di Melaka.

Mengulas dakwaan yang tersebar bahawa kumpulan penyokong Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali merancang untuk mengadakan kongres berasingan, Anwar menjelaskan sebarang pertemuan selain kongres itu tidak mewakili parti.

"Dengar desas-desus tapi saya tak layan. Yang penting, siapa pun boleh buat pertemuan, program kongres parti itu satu diputuskan oleh pimpinan (dibuat) di Melaka, yang lain itu tidak mewakili parti.

"Orang (mereka) nak mesyuarat pun di mana, di hotel, ini negeri demokrasi," katanya kepada pemberita di bangunan parlimen hari ini.

Untuk rekod, PKR sedang bergelut dengan pergeseran terbuka di antara kumpulan Anwar dan Azmin. Keadaan itu semakin diburukkan lagi dengan isu perasmian kongres Pemuda PKR (AMK) dan sayap wanita parti.

Pada 29 Nov PKR memutuskan kongres sayap wanitanya akan dirasmikan oleh Azmin pada 5 Dis, manakala kongres pemuda oleh penasihat parti Dr Wan Azizah Wan Ismail sehari kemudian.

Penyokong Azmin bertegas bahawa tradisi untuk memberi ruang kepada timbalan presiden parti merasmikan kongres AMK perlu dikekalkan.

Mengulas lanjut mengenai konflik dalaman parti, Anwar bmenafikan terdapat wakil pihaknya dan Azmin yang dihantar untuk membincangkan usaha perdamaian antara mereka.

Sebaliknya, beliau berkata keadaan parti tersebut sememangnya damai, sambil memberi contoh jumlah perwakilan yang akan hadir di kongres itu nanti melebihi 75 peratus.

"Jadi, dalam perbincangan saya memang terbuka hari-hari. Saya jumpa dengan ahli parlimen dan juga ketua-ketua negeri..saya tak kira daripada kumpulan mana.

"Tapi tidak ada yang dikatakan perbincangan khusus agenda untuk berdamai kerana bagi saya, parti ini satu dan ada rangka perdamaian.

"Saya percaya mesyuarat akan diadakan dengan baik," katanya.

Sementara itu, MP Port Dickson juga berkata beliau tidak mendengar sebarang usul undi tidak percaya terhadapnya.

"Saya tak dengar, tidak ada yang serius kita ada ahli sejuta. Satu, dua orang boleh bagi pendapat, tidak ada masalah," katanya. 

Lihat Komen
ADS