Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek sembur cat hitam di gereja ditahan di wad psikiatri

Polis menahan suspek yang didakwa menyembut cat hitam pada patung di Gereja St Anne, di Bukit Mertajam hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai, Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, suspek ditahan hari ini di wad psikiatri Sungai Buloh untuk menjalani rawatan.

Nik Ros Azhan berkata, suspek berusia 34 tahun telah dibawa ke wad berkenaan oleh ahli keluarganya sambil diiringi oleh pihak polis.

"Pada 4.30 petang ini, pegawai dan detektif kami telah ke hospital Sungai Buloh untuk bertemu dengan keluarga dan suspek," kata Nik Ros Azhan kepada Malaysiakini.

"Berdasarkan maklumat daripada orang ramai, kami mendapat nombor pendaftaran motosikal yang digunakan oleh suspek.

"Motosikal itu milik abang suspek yang berusia 43 tahun," jelasnya.

Nik Ros Azhan juga mengesahkan isteri suspek yang merupakan seorang pengurus telah membuat laporan polis malam tadi dan mendakwa suaminya adalah pesakit mental.

Wanita itu juga melaporkan suaminya telah bertindak secara agresif terhadapnya dan memerlukan rawatan.

"Suaminya telah memukulnya dan dia membuat laporan polis meminta pihak polis untuk membantu menghantar dia untuk rawatan psikiatri," tambah Nik Ros Azhan.

Terdahulu, beberapa patung suci di gereja berkenaan dicemarkan dengan semburan cat hitam tengah hari semalam.

Dalam insiden yang berlaku kira-kira pada pukul 4.45 petang itu, seorang lelaki masuk ke kawasan gereja dan menyemburkan tanda "X" pada sejumlah patung.

Beberapa kawasan di lantai gereja turut disembur dengan cat sama.

Lihat Komen
ADS