Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jokowi: Perasuah boleh dihukum mati kalau masyarakat mahu

Presiden Indonesia Joko Widodo - atau Jokowi - hari ini berkata kerajaan negara itu tidak berhalangan untuk mengenakan hukuman mati ke atas pesalah rasuah di republik terbabit.

Cadangan hukuman mati ke atas pelaku rasuah timbul selepas seorang pelajar, Harley Hermansyah, mempersoalkan tindakan kerajaan Indonesia yang dilihat tidak berani untuk memberi hukuman berat bagi kesalahan berkenaan.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan bersempena sambutan Hari Antirasuah Sedunia di Indonesia semalam, Jokowi memberitahu perkara itu boleh dilaksanakan sekiranya rakyat republik itu memahukannya.

"Boleh saja kalau masyarakat mahukannya," ujar Jokowi seperti dilaporkan CNN Indonesia.

Bekas gabenor Jakarta itu bagaimanapun menjelaskan peruntukan hukuman mati terhadap pelaku rasuah di negara itu memang sudah ada sebelum ini, namun hanya terpakai untuk kes yang melibatkan bencana alam.

Menurut laporan itu juga, undang undang yang ada sekarang memperuntukkan hukuman mati ke atas pesalah rasuah mengikut beberapa keadaan tertentu.

Antara kesalahan yang tersenarai untuk hukuman mati ialah jika rasuah tersebut berlaku ketika Indonesia berada dalam keadaan bahaya, bencana alam, kesalahan berulang dan sekiranya dalam krisis ekonomi dan kewangan.

Tiada di acara KPK

Sementara itu Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Yasonna H Laoly, berkata hukuman mati itu hanya terpakai sekiranya kesalahan rasuah itu berkait salah guna pengurusan bencana alam.

Namun beliau menegaskan setakat ini belum ada pesalah rasuah yang pernah menerima hukuman tersebut.

"Kalau rasuah melibatkan bencana alam hukuman mati boleh dijatuhkan.

"Contohnya berlaku gempa dan tsunami di Acheh dan kita memberi pembiayaan untuk membantu tetapi disalahgunakan maka boleh dijatuhkan hukuman mati," katanya seperti dilaporkan CNN Indonesia.

Semalam sempena sambutan Hari Antirasuah Indonesia Jokowi memeriahkan acara itu dengan menghadiri persembahan pentas #PrestasiTanpaKorupsi yang dianjurkan menteri kabinetnya di salah sebuah sekolah vokasional di Jakarta.

Tindakannya itu bagaimanapun mencetuskan tanda tanya apabila dia tidak menghadiri acara perasmian Hari Antirasuah Sedunia yang dianjurkan agensi antirasuah negara itu, Komisi Pemberantasan Korupsi walaupun dijemput badan tersebut.

Lihat Komen
ADS