Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sekumpulan belia akan membahaskan Perjanjian Malaysia 1963 dalam siri terbaru Debaton Parlimen 2019 yang dianjurkan oleh Malaysiakini pada Ahad ini.

Usul itu menyatakan, Sabah dan Sarawak mesti mendapatkan hak yang sah di Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Menurut usul tersebut, jaminan hak terhadap rakyat Sabah dan Sarawak mesti dipertahankan berdasarkan klausa khas yang dipersetujui bersama dalam Perjanjian Malaysia 1963.

"Pemulihan hak ini akan dapat menjamin dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah dan Sarawak," usul itu dipetik.

Perbahasan tersebut akan diadakan di Universiti Malaysia Sabah pada jam 4 petang.

Para belia yang mengambil bahagian dalam perbahasan itu akan berbahas sama seperti yang dilakukan oleh anggota Dewan Rakyat, dan akan dikendalikan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon.

Turut dijangka hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, dan Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang.

Debaton Parlimen diadakan kali pertama pada Sept lalu di Dewan Rakyat. Speaker Mohamad Ariff Md Yusof yang mengendalikan perbahasan itu menyatakan rasa kagum dengan gaya dan hujah yang berisi daripada para pendebat. 

Sesiapa yang berminat menyaksikan perbahasan yang berlangsung Ahad ini boleh mendaftar secara percuma di pautan https://www.eventbrite.com/e/debaton-parlimen-2019-belia-tickets-80825424019

Untuk rekod, cadangan kerajaan untuk meminda perlembagaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak gagal diluluskan di peringkat dasar sebelum ini.

Usul tersebut hanya boleh diluluskan apabila mendapat sokongan dua per tiga anggota Dewan Rakyat. Walaupun menguasai majoriti Dewan Rakyat, bilangan ahli parlimen PH tidak mencapai tahap dua pertiga. Justeru untuk meluluskan sesuatu pindaan perlembagaan PH memerlukan sokongan daripada ahli parlimen pembangkang. 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS