Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Marina: Pejuang hak setara bukan mahu 'berbogel di jalanan'

Golongan yang menuntut hak mereka sebenarnya bukan mahukan hak lebih daripada orang lain, kata aktivis sosial, Marina Mahathir, dalam ucapan dasar bagi memperingati Hari Hak Asasi Manusia Sedunia hari ini.

Bercakap pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur, Marina berkata, golongan minoriti selalu dizalimi kerana sering disalah fahanm sebagai cuba mendapatkan layanan istimewa.

Walhal, kata beliau, pada hakikatnya mereka hanya mahu dilayan dengan sama rata, sama seperti orang lain.

"Orang yang memiliki keistimewaan sering mendakwa bahawa jika kita memberi lebih banyak hak kepada orang lain, mereka mungkin akan menyalahgunakannya.

"Jika kita memberi mereka (golongan minoriti) kebebasan untuk menjadi diri sendiri, mereka (golongan yang mendapat keistimewaan tadi) akan berkata: mereka pasti akan mahu menari berbogel di jalanan,” katanya.'

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.

Marina juga menggambarkan dakwaan tersebut sebagai alarmist propaganda (propaganda untuk membuatkan rasa cemas) yang perlu dihadapi dan ditolak.

"Apabila seseorang itu tidak menikmati hak yang asas untuk berjalan-jalan dengan selamat, ataupun berasa selamat di rumah mereka sendiri, hak-hak yang lebih istimewa dapat dinikmati oleh warganegara ini, jadi mengapa mereka mahu menyalahgunakannya?" kata Marina yang sebelum ini lantang menggesa penghapusan diskriminasi berorientasikan seksual.

Tetap sukar diterima ramai

Tuduhan dan hujah-hujah seumpama itu, katanya, memang sering digunakan, antara lain untuk mengabsahkan bantahan, serangan, dan penangkapan golongan LGBT di Malaysia.

Sementara itu, Marina juga berkata kumpulan minoriti terus menjadi mangsa pemikiran tinggalan zaman penjajah yang melihat sesuatu bangsa, agama, dan jantina itu lebih tinggi daripada hal lain.

Beliau berkata konsep itu menyumbang kepada kitaran keganasan terhadap wanita, kanak-kanak, minoriti seksual dan orang Islam yang tidak mengikuti seperti majoriti Sunni di Malaysia.

"Hari ini, di negara kita sendiri, konsep hierarki manusia masih wujud. Sesetengah manusia lebih hebat daripada yang lain bukan kerana perbuatan baiknya, tetapi kerana kaum, agama atau jantinanya," kata Marina.

Selepas 60 tahun merdeka, kata beliau, mengemukakan idea bahawa semua orang perlu mendapat hak yang sama masih sukar untuk diterima bagi ramai rakyat Malaysia.

"Di Malaysia, kita hidup dalam era dengan setiap kelompok kecil rakyat diberi hak yang penuh, sementara yang lain masih terbiar untuk mempertahankan diri sendiri.

"Di sebalik kepelbagaian dalam dunia Islam, kita hanya menerima satu komuniti sebagai yang benar dan boleh dipercayai," kata Marina, merujuk kepada tindakan pihak berkuasa agama terhadap kumpulan pengikut Syiah dan minoriti Islam lain.

"Selebihnya, kita memburu dan mengganggu dan menafikan kebebasan kepercayaan mereka, walaupun mereka tidak mengancam kita," tambahnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS