Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM silap, aset saya tak bertambah - Steven Sim
Diterbitkan:  Dec 10, 2019 4:45 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim berkata tiada perubahan dalam pendapatan dan aset miliknya seperti terkandung dalam laman web pengisytiharan harta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebaliknya beliau berkata SPRM telah tersalah mengisi maklumat berhubung aset miliknnya sehingga berlaku penambahan.

Bagaimanapun katanya, SPRM telah memperbetulkan kesilapan tersebut.

"Ini merupakan maklumat yang salah berikutan kesilapan SPRM dalam laman web pengisytiharan harta.

"Dalam pengisytiharan harta saya yang telah dikemukakan pada Oktober 2019, tiada sebarang perubahan dalam pendapatan dan aset saya mahupun isteri saya berbanding pengisytiharan pada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan timbalan menteri belia dan sukan itu mencatatkan peningkatan aset sebanyak dua kali ganda, selain pendapatan perdana menteri yang meningkat 31 peratus .

Tanpa perubahan gaji, aset milik Sim dan isterinya dilihat melonjak daripada RM329,000 (9 Okt 2018) kepada RM658,000 pada 30 Oktober tahun ini.

Sementara itu, Sim berterima kasih kepada SPRM kerana telah memperbetulkan kesilapan terbabit dan menegaskan akan terus menyokong proses pengisytiharan harta.

"Walaupun berlaku kesilapan tersebut yang kini telah diperbetulkan, saya tetap menyokong dasar pengisytiharan harta dan yakin bahawa langkah ini mampu memastikan ketelusan, serta mencegah salah guna kuasa dan budaya rasuah di kalangan wakil rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS