Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sebutan kes penarikan rayuan terhadap pembebasan Rafizi esok
Diterbitkan:  Dec 12, 2019 3:39 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Mahkamah Rayuan menetapkan esok untuk sebutan kes untuk penarikan balik rayuan terhadap pembebasan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli terhadap atas tuduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia).

Perkara itu dinyatakan dalam surat daripada timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan kepada Rafizi bertarikh 10 Disember, yang dilihat Malaysiakini.

Sebutan kes itu sebelum ini dijadual pada 9 Mac 2020.

Minggu lalu Peguam Negara Tommy Thomas berkata beliau tidak sedar berkenaan langkah memfailkan rayuan terhadap pembebasan Rafizi dan menyifatkannya sebagai satu pengingkaran oleh pegawai yang terlibat.

Tahun lalu Mahkamah Sesyen Shah Alam memutuskan Rafizi dan kerani bank, Johari Mohamad bersalah kerana mendedahkan kepada media maklumat perbankan berkaitan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan pengerusi NFC Mohd Salleh.

Bagaimanapun keputusan itu diketepikan Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan lalu, atas dasar pihak pendakwaan gagal menunjukkan dokumen asal yang diperlukan, seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 61 Akta Keterangan 1950.

Apabila pendakwaan dilaporkan membuat rayuan terhadap keputusan itu, Rafizi membidas Thomas dengan berkata langkah itu bertentangan dengan pelantikan Thomas untuk melaksanakan pembaharuan.

"Saya harap dia berusaha membawa ke muka pengadilan ahli keluarga bekas menteri yang mendapat manfaat daripada RM250 juta. Tiada seorang pun daripada mereka telah didakwa di mahkamah setakat ini," katanya pada 6 Disember lalu.

Pengerusi NFC adalah suami kepada bekas menteri Shahrizat Abdul Jalil.

Thomas kemudian berkata akan membatalkan rayuan itu, langkah yang disifatkan Ismail Sabri sebagai tunduk kepada ugutan Rafizi.

Kes terbaru ini jelas membuktikan kegagalan kerajaan PH. Kedaulatan undang-undang tidak ada lagi di Malaysia.

"Inilah Malaysia Baru. Kedaulatan undang-undang telah mati di Malaysia," katanya.

Bekas peguam negara Apandi Ali pula mempersoalkan sama ada Thomas tidak biasa dengan prosedur Pejabat Peguam Negara, dan berkata proses membuat rayuan itu sebagai hampir automatik sejak zaman Abu Talib Othman memegang jawatan itu pada 1980 hingga 1993.

Lihat Komen
ADS