Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Zakaria Abdul Hamid, hari ini mengemukakan rayuan berhubung pemecatan yang dikenakan ke atasnya baru-baru ini.

Surat rayuan itu dihantar Zakaria ke ibu pejabat partinya di Petaling Jaya.

Zakaria yang sebelum ini mengetuai PKR Bera berkata, dia masih berharap keputusan pemecatannya dipertimbangkan semula dan diberi peluang untuk membela diri.

“Saya masih menaruh harapan untuk keputusan pemecatan tersebut dipertimbangkan semula dan ditarik balik selepas memberi peluang saya membela diri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Zakaria yang sebelum ini pernah menjadi setiausaha politik Menteri Kerja Raya, Baru Bian, dipecat bersama seorang lagi ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi, pada 24 Nov lalu atas dakwaan terlibat dengan rasuah.

Malaysiakini pada 24 Nov lalu melaporkan, keputusan pemecatan itu diambil selepas MPP bermesyuarat dan selaras dengan sikap konsisten PKR terhadap amalan salah laku rasuah.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim, juga berkata langkah itu juga diambil sebagai menyatakan mesej yang jelas kepada seluruh anggota dan rakyat bahawa PKR tidak boleh berkompromi dengan mana-mana anggota.

Zakaria berkata dia berharap lembaga rayuan memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung dakwaan yang dikaitkan dengannya, bukan seperti yang pernah mereka lakukan sebelum ini.

“Saya berharap Lembaga Rayuan PKR memanggil saya untuk memberi keterangan, bukan seperti tindakan sebelum ini yang mengetepikan proses asas terhadap tertuduh," katanya.

Pada masa sama Zakaria menyatakan rasa terkilan dengan sikap Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, yang didakwanya membuat pendedahan terperinci kes terbabit di media massa dan kongres parti.

Kata Zakaria tindakan Saifuddin itu tidak wajar kerana dibuat sebelum tempoh rayuan yang dibenarkan parti - iaitu 14 hari - berakhir.

Lihat Komen
ADS