Malaysiakini
BERITA

Mahkamah tolak permohonan lucut hak harta Umno Kedah, Habib Jewels

Haspaizi Zain

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Dis 2019, 5:06 pagi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan kerajaan untuk melucutkan hak harta wang Umno Kedah dan syarikat Habib Jewels Sdn Bhd sebanyak RM1.15 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak kerana dikaitkan dengan dana 1MDB.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (gambar) membuat keputusan itu selepas mendapati wang terbabit bukan daripada hasil pengubahan wang haram.

Bagi permohonan kerajaan untuk melucutkan hak wang Umno Kedah sebanyak RM1.05 juta, Nazlan berpendapat ia tidak termasuk dalam jumlah RM15 juta yang dikeluarkan Najib.

Nazlan berkata, harus diingatkan bahawa enam cek dikeluarkan Najib berjumlah RM15 juta dan dibayar dalam tempoh masa pada 2012 dan 2013.

Jelasnya, permohonan pelucuthakan itu berkaitan dengan kedudukan imbangan pada kredit akaun semasa responden yang dibekukan dan kemudian disita pada 25 Jun 2018 iaitu berjumlah RM1,054,019.22.

Hakim berkata, bukti afidavit bagaimanapun menunjukkan bahawa daripada enam cek itu, pembayaran cek terakhir sebanyak RM1 juta telah dibuat pada bulan Jun 2013 dan baki akhir pada 30 Jun 2013 hanya kira-kira RM1.4 juta sahaja.

Selain itu, dalam tempoh empat bulan pertama pada 2018 saja - iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 - lebih RM27 juta dimasukkan ke akaun responden dalam 44 transaksi.

Saman lucut hak terbesar

Dalam tempoh sama katanya sejumlah RM26 juta dibayar melalui 203 transaksi.

"Oleh yang demikian pada masa itu sebahagian besar daripada RM15 juta sebenarnya telah tiada dalam akaun dan bakinya berkurangan sehingga RM58,000.

"Pendek kata, saya tidak boleh mengatakan bahawa jumlah lebih RM1 juta yang kini tinggal dalam akaun dan bertujuan untuk dilucuthakkan oleh pendakwa raya merupakan sebahagian daripada RM15 juta yang dibayar oleh Najib beberapa tahun lalu.

"Antara lain sebab-sebab yang terdahulu, saya dengan ini menolak permohonan itu," katanya pada prosiding hari ini.

Pada 21 Jun lalu Malaysiakini melaporkan SPRM memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.

Ia merupakan saman pelucuthakan terbesar dalam sejarah negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata wang tersebut diagihkan kepada penerima daripada akaun peribadi bekas perdana menteri di AmBank.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, beliau berkata sebahagian besar daripada wang itu - iaitu RM212 juta - dituntut daripada Umno.

"Buat setakat ini kita telah kenal pasti 41 individu dan entiti yang dijadikan responden dalam permohonan (SPRM) yang difail di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Wang daripada bank tempatan...diberi daripada akaun Najib dan kemudian diagihkan kepada mereka.

"Jadi transaksi yang kita kenal pasti daripada akaun (AmBank) yang dibuat atas tujuan menerima wang 1MDB," kata Latheefa.

Sementara itu, bagi kes yang melibatkan Habib Jewels, Nazlan berkata wang yang diterima oleh syarikat itu untuk pembelian barang kemas dilakukan dengan niat baik dalam urusan biasa perniagaan responden.

"Saya juga berpuas hati bahawa tidak ada alasan bagi responden untuk mempercayai bahawa bayaran yang mereka terima daripada Najib merupakan hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.