GLOBAL | Tiga ketua menteri di India menyuarakan bantahan terhadap undang-undang kewarganegaraan kontroversi yang mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di bahagian timur laut negara itu, lapor agensi berita Turki, Anadolu.

Selepas diluluskan parlimen, Presiden India, Ram Nath Kovind, menandatanganinya pada Khamis yang menjadikan ia satu undang-undang.

Ia memberikan kewarganegaraan kepada enam minoriti dari Afghanistan, Pakistan dan Bangladesh - semuanya negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam - dan menetap di India lebih dari lima tahun.

Orang Islam dipinggirkan daripada senarai layak memohon kewarganegaraan. Ia menimbulkan kebimbangan bahawa undang-undang itu menjadi satu lagi tamparan kepada kumpulan minoriti Islam India yang berdepan dengan serangan penganut Hindu di bawah kerajaan pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP).

Ketua Menteri Punjab, Amarinder Singh, enggan melaksanakan rang undang-undang itu.

"Mana-mana perundangan yang berhasrat memecah-belah orang ramai melalui agama adalah tidak sah, tidak beretika dan tidak berperlembagaan.

“Kekuatan India terletak pada kepelbagaiannya dan #CABBill2019 melanggar prinsip asas perlembagaan. Oleh itu, kerajaan saya tidak akan membenarkan rang undang-undang tersebut dilaksanakan di Punjab," ciapnya menerusi Twitter.


Baca India lulus RUU mudahkan kerakyatan pendatang tanpa izin


Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan, pula berkata langkah untuk memberikan kewarganegaraan berdasarkan agama adalah termasuk dalam perbuatan menolak perlembagaan.

"Rang Undang-Undang Pindaan Kewarganegaraan adalah satu serangan ke atas ciri sekular dan demokratik India. Langkah bagi memutuskan kewarganegaraan berdasarkan agama terjumlah kepada penolakan perlembagaan.

“Ia hanya akan menyebabkan negara kita mengundur. Kebebasan yang kita perjuangkan dengan bermati-matian kini menjadi taruhan. Demokrasi kita dalam keadaan bahaya... BJP memberikan bayangan yang jelas bahawa dasar politik utama mereka ialah komunalisme. Kita perlu menentang," katanya.

Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, turut menyuarakan bantahan terhadap undang-undang itu.

"Kami bersama anda, dan selagi kami bersama anda, tiada siapa boleh mengenakan apa-apa terhadap anda," katanya pada Isnin di satu perhimpunan awam, lapor stesen penyiar NDTV.

- Bernama