Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Hishammuddin dianggap selesai, kata Annuar
Diterbitkan:  Dec 17, 2019 9:06 AM
Dikemaskini: 1:06 AM

Walaupun surat tunjuk sebab sudah dikeluarkan Lembaga Disiplin Umno kepada Hishammuddin Hussein, kepemimpinan parti menganggap kes melibatkan ahli parlimen Sembrong itu sudah selesai.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, berkata Hishammuddin sudah memberi penjelasan kepada presiden mereka, Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Menurut Annuar, Ahmad Zahid juga sudah memberi penjelasan mengenai isu berkenaan semasa membuat ucapan penggulungan di akhir perhimpunan Umno baru-baru ini.

"Setakat yang saya tahu isu (Hishammuddin) sudah selesai," katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Lembaga Disiplin Umno memang mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap bekas naib presiden parti itu kerana mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, 18 Nov lalu.

Turut menyertai pertemuan tersebut ialah 21 ahli parlimen Umno yang lain.

Ekoran pertemuan tersebut ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, mendakwa Hishammuddin mengkhianati rakyat Malaysia, khususnya pengundi di Tanjung Piai yang baru sahaja memenangkan calon BN dua hari sebelum itu.

"Apa pula alasan yang mahu beliau berikan apabila beliau membawa 22 orang MP BN ke rumah menteri 'semburit' Azmin Ali di Presint 8, Putrajaya?

"Walaupun bukan semua 22 MP ini menyokong Mahathir, tidakkah beliau sedar betapa kecewanya ribuan jentera BN dan PAS yang berkerja keras di Tanjung Piai apabila beliau melakukan pengkhianatan ini," kata Lokman. 


Baca Perwakilan bidas MP Umno jumpa menteri


Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Mohamed Apandi Ali, ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam mengesahkan pihaknya mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Hishammuddin.

Berdasarkan surat itu Hishammuddin perlu memberi penjelasan kepada badan terbabit pada 26 Disember ini.

Surat itu dikeluarkan kerana Hishammuddin dituduh melanggar perlembagaan parti dan tata etika sebagai ahli Umno.

Annuar berkata surat tunjuk sebab Lembaga Disiplin Umno dikeluarkan tanpa melalui beliau.

Beliau yang juga ahli parlimen Ketereh menjelaskan kepemimpinan Umno memang tidak campur tangan dalam siasatan Lembaga Disiplin Umno ke atas mana-mana ahlinya.

Lihat Komen
ADS