Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Jabatan Perhilitan Johor menasihatkan orang ramai supaya berwaspada tentang kemungkinan terdapat buaya tembaga yang tersesat dari sungai berdekatan akibat banjir yang melanda sembilan daerah negeri itu.

Pengarahnya Salman Saaban berkata ia tidak mustahil berlaku selepas mengambil kira laporan serta kajian kehadiran populasi buaya di sembilan sungai di Johor sebelum ini.

Katanya, sungai itu ialah Sungai Batu Pahat di Batu Pahat, Sungai Jemaluang dan Sungai Endau (Mersing), Sungai Lebam dan Sungai Sedili (Kota Tinggi), Sungai Muar (Muar), Sungai Pulai (Pulai) dan Sungai Johor dan Sungai Skudai (Johor Bahru).

"Jadi kawasan berpotensi (untuk buaya ini tersesat) tentunya ialah di longkang-longkang besar, parit atau tali air.

"Ia akan mencari binatang ternakan yang mati lemas akibat banjir sebagai sumber makanan yang mudah," katanya ketika dihubungi Bernama di Johor Bahru.

Salman berkata sekiranya terserempak dengan reptilia itu, tindakan yang harus dibuat oleh orang ramai ialah menjauh dan memaklumkannya kepada pihak jabatan.

“Jangan membuat provokasi atau panik kerana ini akan menyebabkan haiwan berkenaan bertindak ganas.

“Selain itu, pekalah terhadap keadaan sekeliling bagi mengelakkan kejadian seperti ini (terserempak buaya),” katanya.

Banjir sejak empat hari lalu menyebabkan lebih 9,000 penduduk di daerah Mersing, Kota Tinggi, Segamat, Kluang, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Muar dan Kulai terjejas ekoran rumah didiami dinaiki air.

- Bernama

Lihat Komen
ADS