Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin MTUC sembunyikan semua dari majlis am, dakwa bekas SU agung

Bekas setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N Gopal Kishnam mendakwa kepimpinan semasa organisasi itu menyembunyikan segala-galanya daripada majlis umum kesatuan.

"Ketika era saya, kami menerima surat (ROS) yang sama berdasarkan aduan dibuat daripada satu sekutu (anggota kesatuan).

"Saya tidak menyembunyikan surat daripada Majlis Umum MTUC, dan menjawab semua pertanyaan dengan sewajarnya.

"Isunya sekarang, (Presiden MTUC) Abdul Halim Mansor dan (Setiausaha Agung MTUC) J Solomon menyembunyikan segala-galanya daripada Majlis Umum.

"Sehingga ke hari ini, mereka tidak pernah membincangkan surat tunjuk sebab (daripada ROS) pertama yang dihantar kepada mereka beberapa bulan yang lalu," kata Gopal kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan ketika beliau menjadi setiausaha agung, MTUC menerima surat ROS mengenai mesyuarat jawatankuasa kewangan yang kurang diadakan pada setiap bulan, suatu syarat perlembagaan kesatuan itu. 

Katanya, pada masa itu, mereka hanya mengadakan empat mesyuarat dalam tempoh lapan bulan.

Gopal berkata MTUC kini mesti mengadakan mesyuarat segera dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan mesti mematuhi nasihat mereka.

Solomon (gambar, atas) dalam maklum balas segeranya terhadap dakwaan Gopal berkata kepimpinan MTUC tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan dan mendakwa mereka lebih telus dan jujur daripada bekas setiausaha agung itu.

Beliau selanjutnya mendakwa bahawa perakaunan dana MTUC tidak sepenuhnya telus semasa era kepimpinan terdahulu.

"Jadi minta beliau tutup mulut atau saya akan mendedahkan lebih banyak kesalahannya semasa menyandang jawatan sebagai setiausaha agung," kata Solomon kepada Malaysiakini.

Beliau juga pihaknya akan mengadakan sidang akhbar mengenai perkara ROS ini tidak lama lagi.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Abdul Halim (gambar, bawah) mengenai perkara ini dan sedang menunggu jawapannya.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 20 Disember lalu mengesahkan pihak berkuasa itu menggantung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ekoran siasatan yang dijalankan ke atas organisasi tersebut.

ROS berkata agensi itu menerima aduan mengenai MTUC pada 2 Julai lalu berhubung isu pengurusan yang bermasalah.

Sehubungan itu, kata ROS, mereka membuat kertas siasatan pada 29 Ogos dan menjalankan siasatan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

"Selanjutnya pada 18 Dis ROS mengeluarkan notis mengikut Seksyen 13(2) iaitu kenyataan sebelum pendaftaran dibatalkan.

"Justeru MTUC diberi tempoh selama 30 hari dari tarikh notis itu untuk memberi jawapan balas mengapa pertubuhan berkenaan tidak patut dibatalkan," katanya.

Minggu lalu Setiausaha MTUC Sarawak, Andrew Lo (gambar, bawah), membuat dakwaan serius menyatakan organisasi itu tidak mengadakan mesyuarat penuh jawatankuasanya sejak pemilihan pada 2016.

Sumber lain pula memberitahu Malaysiakini, kepemimpinan MTUC sebenarnya menerima surat tunjuk sebab daripada ROS sekurang-kurangnya dua bulan lalu ekoran kegagalan mereka mengadakan mesyuarat.

Kementerian Sumber Manusia sejak itu menawarkan untuk membantu menyelesaikan penggantungan MTUC oleh ROS itu.

Abdul Halim mengucapkan terima kasih kepada kementerian atas tawaran tersebut tetapi berkata MTUC tidak pernah menerima panggilan daripada Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dan hanya mendapat tahu mengenai tawaran itu menerusi laporan media.

Bekas presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud memberitahu Malaysiakini bahawa sepanjang tempoh memimpin kesatuan itu, pihaknya tidak pernah menghadapi masalah dengan ROS.

Syed Syahir berkata suatu hal yang biasa MTUC berurusan dengan ROS.

"Kadangkala pihak kami menghantar surat kepada pejabat ROS bagi mendapatkan penjelasan atau pengesahan mengenai beberapa perkara.

"Saya tidak fikir MTUC akan dibatalkan pendaftarannya," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS