Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Presiden MTUC terkejut dakwaan bekas setiausaha agung

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC) Abdul Halim Mansor berkata, beliau terkejut dengan dakwaan dibuat bekas setiausaha agung kesatuan, itu N Gopal Kishnam.

Ini berikutan dakwaan Gopal bahawa Abdul Halim dan Setiausaha Agung MTUC sekarang J Solomon menyembunyikan segala-galanya daripada majlis umum kesatuan berhubung penggantungan badan itu.

"Gopal adalah bekas Setiausaha Agung, oleh itu dia tahu bagaimana organisasi MTUC berjalan.

"Saya sedikit terkejut kerana Gopal rakan saya dalam perjuangan di mahkamah, kami bersama-sama dalam perjuangan MTUC dalam semua isu-isu mengenai MTUC (jadi) bagaimana dia boleh dakwa saya menyembunyikan sesuatu daripada Majlis Umum? " kata Abdul Halim kepada Malaysiakini hari ini.

Abdul Halim berkata, mereka telah mengadakan mesyuarat antara jawatankuasa kerja pada 12 Disember dan mencadangkan untuk mengadakan mesyuarat Majlis Umum pada 29 Disember ini untuk persidangan perwakilan.

Awal hari ini, Gopal mendakwa Abdul Halim dan Solomon "menyembunyikan segala-galanya" dari Majlis Umum berhubung notis penggantungan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Abdul Halim berkata beliau berharap semua pemimpin MTUC, sama ada daripada kesatuan atau Majlis Umum bersatu untuk menentang notis penggantungan itu.

Solomon berkata, kepimpinan MTUC sekarang tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan mereka lebih telus serta jujur ​​berbanding bekas setiausaha agung.

Solomon juga mendakwa perakaunan MTUC tidak benar-benar telus semasa era Gopal.

"Oleh itu, minta beliau untuk diam, atau saya akan dedahkan lebih banyak salah laku beliau semasa beliau menjadi setiausaha agung," kata Solomon kepada Malaysiakini.

Beliau juga berkata mereka akan mengadakan sidang akhbar berhubung isu dengan ROS tidak lama lagi.

ROS pada 20 Disember lalu mengesahkan telah menggantung MTUC ekoran siasatan yang dijalankan ke atas organisasi tersebut.

ROS berkata agensi itu menerima aduan mengenai MTUC pada 2 Julai lalu berhubung isu pengurusan yang bermasalah.

Sehubungan itu ROS membuka kertas siasatan pada 29 Ogos dan menjalankan siasatan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Sementara itu, Abdul Halim mengucapkan penghargaan atas kesudian Kementerian Sumber Manusia untuk membantu menyelesaikan isu penggantungan MTUC.

Bagaimanapun beliau berkata kesatuan itu tidak pernah menerima panggilan daripada Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan tawaran itu hanya dibuat melalui satu kenyataan media. 

Lihat Komen
ADS