Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jabatan pendidikan tinggi tak campur tangan soalan 'Zakir Naik ikon Islam'
Diterbitkan:  Dec 30, 2019 6:01 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Susulan daripada soalan peperiksaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menggambarkan pendakwah kontroversi Zakir Naik sebagai "ikon dalam dunia Islam”, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) mengambil pendirian tidak campur tangan dalam urusan program akademik universiti tersebut.

Pejabat Ketua Pengarah JPT dalam kenyataannya hari ini sebaliknya berkata pihak UniMAP dijangka akan memberi penerangan lanjut mengenai isu itu.

“Jawatankuasa Akademik setiap universiti (termasuk Senat universiti) bertanggungjawab ke atas semua standard akademik masing-masing.

“Berdasarkan konsep autonomi universiti, pihak JPT tidak akan campur tangan dalam urusan perlaksanaan program akademik.

“Pihak JPT memegang kepada konsep autonomi dan kebertanggungjawaban.

“Melalui konsep ini, pihak universiti adalah bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan, termasuk pelajar dan orang awam,” katanya.

Soalan peperiksaan itu terkandung dalam kertas Peperiksaan Kursus Hubungan Etnik (UUW 235) UniMAP itu turut mengundang kritikan dari Naib Presiden MIC C Sivarrajh, melalui hantaran di Facebook beliau semalam.

Hantaran itu turut memaparkan soalan peperiksaan yang dimaksudkan, yang berbunyi: "Zakir Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam, beliau banyak berjasa dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

"Beliau mampu berhujah dan manjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik. Namun begitu di Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini boleh berlaku?"

Sementara pilihan jawapan yang disediakan ialah 1) Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu, 2) Rakyat Malaysia yang mudah terancam tanpa usul periksa, 3) Rakyat yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa, 4) Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.

Selepas ceramahnya di Kelantan pada Ogos lalu menjadi kontroversi, Zakir, yang berasal dari India, tidak dibenarkan menyampaikan ceramahnya.

Lihat Komen
ADS