Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Jawi: PAS, MCA 'talam dua muka' - Guan Eng
Diterbitkan:  Jan 1, 2020 10:54 PM
Dikemaskini: 2:54 PM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan PAS dan MCA sebagai 'talam dua muka' dalam isu kontroversi pelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Menurut wawancara yang diterbitkan Oriental Daily hari ini, Lim berkata dua parti politik itu kelihatan seolah-olah membantah rancangan kerajaan untuk memperkenalkan pelajaran Jawi di sekolah vernakular apabila bercakap kepada khalayak Cina Malaysia, tetapi menyokongnya buat khalayak Melayu.

Katanya, misalnya PAS apabila bercakap kepada khalayak Melayu menggesa supaya Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) diharamkan.

Pada masa yang sama, kata Lim, PAS memberitahu masyarakat Cina mereka bersedia untuk menubuhkan jawatankuasa bagi membincangkan perkara tersebut.

Beliau dipetik berkata parti-parti politik perlu menyampaikan mesej yang sama tanpa mengira jenis kaum yang menjadi khalayak mereka.

"Orang bukan Islam tidak boleh terjerumus ke dalam permainan politik dua wajah (talam dua muka) pembangkang, tetapi sebaliknya bersatu melawan golongan rasis dan pelampau.

"Jika BN menang, ia hanya akan melemahkan Pakatan Harapan. Sekiranya anda masih tidak bangun dengan hal ini, saya hanya boleh kata anda perlu menjelaskannya kepada generasi anda yang akan datang," katanya dipetik sebagai berkata.

Pada 26 Disember lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata partinya sedia berdialog dengan semua pihak termasuk Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan MCA dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan awam.

"PAS sebagai sebuah wadah politik yang ditubuhkan hampir 70 tahun yang lalu sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarangan perbincangan dan dialog dengan mana-mana pihak dalam semua perkara yang berkepentingan awam, termasuk dengan MCA dan Dong Jiao Zong," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Takiyuddin juga berkata PAS bukan setakat memperjuangkan hak umat Islam tetapi juga bertanggungjawab melaksanakan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Bagi mencapai hasrat tersebut, jelas Takiyuddin, "Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada awal Disember 2019 yang lalu telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Mahabbah PAS – MCA dipengerusikan oleh Naib Presiden Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga menteri besar Terengganu."

"Jawatankuasa ini dianggotai oleh sebilangan pimpinan kanan PAS yang mempunyai latar belakang yang pelbagai, termasuk para profesional selain agamawan," katanya lagi.

Rakan sejawatnya dari MCA, Chong Sin Woon pada 27 Disember pula berkata MCA masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS