Suhaimi mahu ahli GPMS kembali bersatu
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim mengajak semua ahli persatuan itu kembali bersatu untuk meneruskan agenda yang terganggu sejak pertubuhan itu dilanda krisis sembilan bulan lalu.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim mengajak semua ahli persatuan itu kembali bersatu untuk meneruskan agenda yang terganggu sejak pertubuhan itu dilanda krisis sembilan bulan lalu.
Beliau berharap semua pihak yang terlibat dalam kemelut kepimpinan GPMS dapat menerima dengan hati terbuka keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang memutuskan GPMS dipimpin oleh barisan jawatankuasa yang dipilih pada mesyuarat agung tahun 2003.
"Tiada pihak yang menang atau kalah dalam kemelut ini. Yang menang ialah GPMS dan ahli-ahlinya. Oleh itu saya harap semua pihak dapat berkerjasama untuk memulihkan imej dan nama baik GPMS.
Kita perlu bersatu untuk menjayakan agenda belia dan pelajar yang belum selesai itu,"tegasnya kepada malaysiakini.
ROS dalam suratnya kepada gabungan itu pada 28 April lalu telah memutuskan teraju kepimpinan GPMS dikembalikan kepada "status quo" tahun 2003.
Berdasarkan senarai kepimpinan 2003, Suhaimi kekal sebagai Presiden dan Reezal Marican Naina Marican dari kumpulan yang mencabar kepimpinan Suhaimi kekal sebagai Naib Presiden. Shahril Rejab dan Syed Annuar yang masing-masing dipecat dari jawatan Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Oktober lalu kembali memegang jawatan masing-masing.
Suhaimi berharap selepas ini tiada lagi gejala atau masalah berpuak-puak dalam GPMS.
Menurutnya, ROS akan menghantar laporannya kepada seketariat GPMS tidak lama lagi dan diharapkan semua ahli jawatankuasa berkenaan dapat melaksanakan tanggujawab masing-masing sepenuhnya.
'Rampasan kuasa'
"Saya juga akan memanggil mesyuarat majlis tertinggi sebaik sahaja menerima surat berkenaan. Semua program, keahilan dan cawangan GPMS akan disusun semula bagi memantapkan balik pertubuhan ini," ujarnya.
GPMS dilanda krisis sejak Oktober lalu apabila kumpulan Suhaimi memecat Sharil dan Syed Annuar atas alasan melanggar disiplin persatuan.
Ekoran pemecatan itu, kedua-dua mereka melancarkan kempen mencabar kepimpinan Suhaimi. Kumpulan Shahril menonjolkan Naina Marican sebagai calon presiden untuk mencabar Suhaimi dalam mesyuarat agung GPMS yang bakal diadakan.
Kemuncak krisis tersebut ialah peristiwa "rampasan kuasa" kepimpinan GPMS yang dilakukan oleh kumpulan Shahril pada bulan November.
Selepas mengisytiharkan pengambilalihan kuasa tersebut, kumpulan Shahril telah "menggantung' Suhaimi daripada jawatan presiden.
Pada Disember lalu, kedua-dua kumpulan yang mendakwa menguasai GPMS memanggil mesyuarat agung. Kumpulan Shahril mengadakan mesyuarat pada 10 Disember manakala kumpulan Suhaimi pula pada 17 dan 18 Disember.
Bagaimanapun tindakan kedua-dua kumpulan itu tidak juga menyelesaikan krisis GPMS hingga terpaksa dirujuk kepada ROS.
Awal tahun ini kedua-dua kumpulan menghantar laporan mesyuarat agung masing-masing kepada ROS untuk ditentukan kesahihan masing-masing.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.