Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakaman dedah Azeez, Dzulkifli bincang siasatan 1MDB, kaitan Tabung Haji

Bekas pengerusi Tabung Haji Azeez Abdul Rahim tampak mengadakan perbincangan dengan bekas ketua pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad, berkenaan sama ada Tabung Haji terbabit dalam siasatan 1MDB.

Ketika perbualan telefon itu didakwa berlaku, iaitu Januari 2016, Dzulkifli merupakan pegawai di Pejabat Peguam Negara. Dia kemudian dilantik mengetuai SPRM pada Ogos tahun itu.

Rakaman perbualan itu merupakan salah satu pendedahan yang dibuat SPRM dalam sidang media di Putrajaya hari ini. SPRM berkata rakaman itu, yang diterima daripada sumber yang tidak dikenali awal bulan ini, adalah tulen.

Dalam panggilan pertama pada tarikh 17 Januari, Dzulkifli memaklumkan perkembangan kepada Azeez berkenaan suatu perkara, yang menurutnya sudah selesai, dan kini sedang menyelesaikan satu lagi perkara.

Selepas ia selesai, kata Dzulkifli, pihaknya akan memberikan taklimat kepada seorang "Tan Sri".

"Tan Sri" itu dipercayai merujuk kepada peguam negara ketika itu, Apandi Ali.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya tidak menjelaskan topik perbualan antara dua individu itu, tetapi dipercayai ia berkaitan kertas siasatan 1MDB.

Dalam perbualan telefon itu, Dzulkifli berkata "semua dalam kawalan" sementara Azeez berkata "Tan Sri" telah memberitahunya bahawa dia merancang untuk menghantar kembali apa yang dipercayai sebagai kertas siasatan kepada pegawai penyiasat.

Dalam panggilan kedua pada tarikh 22 Januari, Azeez bertanya kepada Dzulkifli sama ada "ia baik atau buruk".

Dzulkifli kemudan memberitahu yang selepas kertas siasatan dikembalikan, pegawai penyiasat merancang untuk menambah dua lagi nama, dipercayai merujuk kepada suspek.

Dzulkifli: Shamsul, Nik Suboh dan Aziz.

Azeez: Aziz mana?

Dzulkifli: Aziz something, yang mana tak ingat.

Azeez: Ada Aziz?

Dzulkifli: Bukan Azeez Rahim lah (ketawa).

Azeez: (Ketawa) So Aziz, Shamsul, Suboh, Nik. Ok lah, Rosman tak ada (disebut), Alhamdulillah tak ada kena mengena Tabung Haji (dengan 1MDB). Confirm ya?

Dzulkifli: Confirm.

Rosman dipercayai merujuk kepada Rosman Abdullah, yang merupakan pengarah urusan Putrajaya Perdana, sebuah syarikat di mana Azeez menjadi pengerusinya pada 2015.

Putrajaya Perdana didakwa mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan Jho Low, dan didakwa menerima dana daripada SRC International.

Sementara itu, Azeez turut bertanya Dzulkfili sama ada "semua perkara dalam 'perjalanan ke Mexico'", dan Dzulkifli menjawab "ya". Tidak jelas perkara apa yang dirujuk dalam perbualan ini.

Azeez menamatkan perbualan selepas menerima panggilan daripada "bos" Dzulkifli.

Perbualan kedua itu berlaku empat hari sebelum Apandi membuat sidang media pada 26 Januari, yang membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak daripada sebarang salah laku dalam skandal 1MDB.

Pada hari sama Apandi juga dilantik menjadi lembaga pengarah Tabung Haji.

Lihat Komen
ADS