Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Istac belum terima undangan rasmi China untuk lawat Xinjiang

Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) belum menerima undangan rasmi daripada China untuk mengunjungi Beijing dan Xinjiang pada tahun ini, kata ketuanya Dr Osman Bakar.

Justeru, kata syaikh al-kulliyyah Istac itu, belum ada keputusan dibuat sama ada institut itu - yang merupakan badan penyelidikan di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) - akan menerima atau menolak undangan itu, yang dilaporkan dibuat duta China ke Malaysia, Bai Tian, minggu lalu.

"Kami belum terima apa-apa (secara) rasmi lagi. Kami baca di akhbar saja.

"Mereka (dilaporkan) jemput tapi belum ada kami terima (undangan rasmi)," katanya ketika ditemui di forum "Islam dan Melayu Nusantara" di Istac, Kuala Lumpur, hari ini.

"Saya rasa kedutaan China keluarkan kenyataan sebagai respons kepada menteri luar (Saifuddin Abdullah)." katanya lagi.

Pada Rabu lalu, Bai dilaporkan berkata tawaran kunjungan ke Xinjiang - agar mendapat "maklumat sah dan langsung" berhubung perkembangan di wilayah itu - selepas mengambi kira hubungan dua hala yang kuat antara Malaysia dan China, yang telah wujud sejak bermulanya hubungan diplomatik antara dua negara.

"Saya yakin kerajaan Malaysia akan mengekalkan kesaksamaan dan objektivitinya.

"Saya juga berharap isu Xinjiang akan menjadi sesuatu yang positif untuk Muslim di kedua-dua negara (dan) meningkatkan kefahaman antara satu sama lain, berbanding (fokus terhadap) isu negatif," Bai dilaporkan berkata dalam wawancara bersama beberapa media, termasuk Bernama, di pejabat kedutaan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung laporan yang memetik Saifuddin sebagai berkata, kerajaan telah melantik Istac untuk mengkaji dan mengesahkan laporan berita berhubung dakwaan penindasan terhadap etnik Uyghur di Xinjiang.

Ditanya lebih lanjut, Osman berkata Istac hanya akan membuat keputusan selepas menerima maklumat lanjut berkenaan undangan itu.

"Kita kena tengok dulu... Saya tak mahu ulas lagi (berkenaan undangan).

"Kena ada hitam putih dulu, ini (isu) sensitif," katanya lagi.

Pada 9 Disember lalu, dalam satu artikel ulasan yang disiarkan beberapa media tempatan, Bai menafikan apa yang disifatkannya berita "separuh benar" yang disensasikan oleh media Barat.

Ia susulan pendedahan New York Times pada November lalu berkenaan sejumlah dokumen kerajaan China yang mendedahkan butiran tindakan terhadap Uyghur dan warga Islam lain di Xinjiang.

Aktivis dan pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata sekurang-kurangnya sejuta orang Uyghur dan kumpulan minoriti Islam lain ditahan di kem di Xinjiang.

Lihat Komen
ADS