Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Ali Hamsa sifatkan kandungan laporan asal audit 1MDB 'bahan bukti bahaya'

KES PINDA LAPORAN AUDIT 1MDB | Bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa menyifatkan sebahagian daripada laporan asal audit mengenai 1MDB oleh Jabatan Audit Negara (JAN) sebagai "bahan bukti yang sangat berbahaya".

Ia terutama berkenaan 1MDB mempunyai dua versi penyata kewangan.

Komen Ali Hamsa itu direkodkan dalam rakaman audio dan diperdengarkan sekali lagi ketika perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB, di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Rakaman itu diperdengarkan untuk pegawai JAN yang telah bersara, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad yang hadir di mesyuarat pada 24 Feb 2016, ketika perbincangan itu dirakam.

Timbalan pendakwa raya Akram Gharib, yang sedang memeriksa Saadatul Nafisah, telah meminta beliau mengesahkan apa yang dimaksudkan oleh Ali Hamsa sebagai "bahan bukti yang sangat berbahaya".

Akram: Tan Sri Ali Hamsa berkata “bukti bahan yang sangat berbahaya”. Apa yang dirujuknya?

Saadatul Nafisah: Kita ada bukti berkenaan dua (penyata) akaun.

Akram: Dan ia adalah "bahan berbahaya"?

Saadatul Nafisah: Ya dan kami boleh buktikan ada dua (penyata) akaun.

Rakaman tersebut diambil secara rahsia oleh rakan sejawatan Saadatul, Nor Salwani Muhammad, juga menyimpan salinan laporan asal audit 1MDB yang diarahkan untuk dilupuskan.

Kedua-duanya kini merupakan bukti utama dalam kes tersebut.

Susulan desakan Ali Hamsa dan Arul Kanda sewaktu mesyuarat tersebut, JAN akhirnya terpaksa memadamkan bahagian tertenu dalam laporan, termasuk berkenaan penyata kewangan yang bercanggah.

Pada November tahun lalu, bekas ketua pengarah JAN Ambrin Buang memberi keterangan berkenaan penyata kewangan 1MDB, yang kerajaan tidak mahu dedahkan kepada awam.

Perbezaan penyata kewangan itu berkenaan sama ada 1MDB masih mempunyai baki dana dalam pelaburan syarikat portfolio (SPC), yang sering dirujuk sebagai "unit dana".

"Satu versi yang dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyatakan 1MDB sudah menggunakan dana yang diperoleh daripada pelaburan SPC untuk membayar hutang syarikat dan digunakan untuk modal kerja.

"Satu lagi versi penyata kewangan yang dihantar kepada Kementerian Kewangan, Deutsche Bank dan Ambank yang menyatakan dana yang diperoleh daripada pelaburan SPC masih di tangan 1MDB," kata Ambrin ketika itu.

Beliau menyampaikan perkara itu kepada Najib sebelum dipanggil bertemu Ali.

Dalam kenyataan saksi Saadatul Nafisah hari ini, dia berkata selepas melaksanakan perubahan seperti diminta Ali dan Arul, draf akhir dhantar kepada Ali di pejabatnya pada 29 Februari 2016.

“Beliau memaklumkan kepada saya untuk tidak mencetak laporan audit akhir 1MDB sehingga mendapat arahan dan persetujuan dari Najib.

Seingat saya, Tan Sri Ali Hamsa memberitahu saya don’t print the report until his greenlight. Beliau menyatakan ianya akan menyebabkan impak dari segi politik kepada negara.

“Saya kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada Ambrin dan beliau ambil maklum berkenaan perkara tersebut,” katanya.

Katanya lagi, Arul meminta lebih banyak perubahan dibuat semasa mesyuarat pada 1 Mac 2016 dan laporan akhir dihantar untuk dicetak pada hari berikutnya.

Versi asal yang dihantar untuk dicetak pada 20 Feb 2016 telah diarah supaya dilupuskan.

Lihat Komen
ADS