Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selepas 45 tahun cuma menjadi sekadar bahan perbincangan, akhirnya Majlis Media Malaysia ditubuhkan dengan pembentukan jawatankuasa penaja terdiri daripada 17 anggota.

Ia susulan pertemuan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta penasihat media kepada kerajaan A Kadir Jasin bersama pihak berkepentingan di Putrajaya hari ini.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Gobind berkata jawatankuasa tersebut ditugaskan untuk memuktamadkan draf Rang Undang-undang (RUU) Akta Majlis Media Malaysia.

Selain itu, jawatankuasa penaja tersebut mempunyai dua bulan untuk menumpukan terhadap lima isu, termasuklah fungsi, mandat, perlembagaan dan keanggotaan majlis media ini.

“Majlis Media ini akan meliputi semua jenis media di Malaysia, iaitu media cetak, elektronik dan atas talian.

“Ia akan memperkasa dan memastikan kebebasan media serta hak-hak pengamal media dipelihara sementara memastikan pengamalan media yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Gobind berkata Majlis Media sebagai badan kawal selia industri media juga akan diperkasakan untuk bertindak kepada aduan awam terhadap media.

Ia akan meneliti undang-undang media sedia ada bagi mempertimbangkan sama ada ia perlu dimansuh atau dipinda apabila majlis ini dibentuk.

Gobind juga mengumumkan pelantikan CEO Malaysiakini, Premesh Chandran sebagai ketua jawatankuasa penaja majlis tersebut.

Pelantikan Premesh sebelum ini dipersetujui oleh pihak berkepentingan yang hadir semasa sesi perundingan tertutup itu.

Lain-lain anggota jawatankuasa yang terlibat ialah Chamil Wariya dan Yong Soo Hong daripada Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Pengerusi Kelab Akhbar Kebangsaan Ahirudin Attan.

Terdapat juga wakil kumpulan wartawan, Gerakan Media Merdeka (Geramm), Wartawan Perikatan, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM) dan seorang wakil dari Sabah dan Sarawak.

NGO Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan pelbagai pemilik media turut menganggotai Majlis Media.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS