mk-logo
Berita
Yusof pertimbang saman Anwar atas 'salah laku seksual'
Diterbitkan:  Jan 17, 2020 6:11 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Muhammad Yusoff Rawther bercadang untuk memfailkan saman sivil terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim berhubung dakwaan salah laku seksualnya.

Untuk berbuat demikian, peguamnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) mesti menjelaskan kenyataan bahawa terdapat "percanggahan fakta material" yang tidak dapat menyokong pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata penjelasan itu penting untuk tindakan selanjutnya yang akan diambil anak guamnya mengenai dakwaannya terhadap Anwar.

"Pada pendapat saya, perenggan ini memerlukan penjelasan lanjut. Adakah percanggahan ditemukan daripada pihak penuduh (Yusoff) atau percanggahan pada kedua-dua belah pihak?

"Mengapa saya menyentuh isu ini disebabkan dalam kes mahkamah, pengadu atau mangsa mempunyai pilihan. Dalam beberapa kes, dia boleh mengambil tindakan sivil.

"Sekiranya pendakwa memutuskan untuk tidak melakukan pendakwaan, sama ada beliau (Yusoff) akan meneruskan dengan tindakan sivil (atau sebaliknya), kenyataan ini (pertama sekali) perlu dijelaskan," katanya kepada pemberita di Petaling Jaya hari ini.

Selain daripada "percanggahan", Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek berkata terdapat bukti yang tidak mencukupi untuk melakukan pendakwaan terhadap laporan yang dibuat berdasarkan keterangan yang terdapat dalam kertas siasatan.

Dalam keadaan ini, katanya, AGC bersetuju dengan polis supaya kes itu ditutup.

Untuk rekod, Seksyen 354 merangkumi kesalahan "menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan."

Kata Yusoff kepada Anwar: Silakan saman

Sementara itu, Yusoff ketika mengulas kenyataan Anwar mahu menyamannya berkata dia menanti-nantikan tindakan undang-undang itu.

Ditanya bagaimana perasaannya tentang perkara ini, jawab Yusoff: "Bawa datang. Anwar nak saman saya, silakan."

Bagaimanapun, Yusoff berkata dia atau peguamnya belum lagi menerima saman berkaitan dengan perkara tersebut.

Walaupun Anwar mengalu-alukan keputusan AGC untuk tidak memulakan pendakwaan, beberapa MP PKR mengkritik Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kerana kelihatan seakan percaya kepada dakwaan Yusoff.

Abdul Hamid pada Rabu lalu berkata tiada apa yang mencurigakan atau tersembunyi dengan keputusan AGC itu, yang dibuat berdasarkan hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) polis.

Katanya, sukar untuk pihak berkuasa mendapatkan bukti fizikal dan sokongan (corroborative evidence) memandangkan insiden itu didakwa telah lama berlaku.

"Ia (didakwa) telah lama berlaku, satu atau dua tahun lalu. Ia sukar, kita perlukan buktikan fizikal.

"Sama ada dia (Yusoff) bercakap benar atau tidak, itu soalan lain tetapi apa bukti sokongan yang kita ada," katanya.

Pada 7 Disember tahun lepas, Yusoff telah memfailkan laporan polis, menggesa siasatan terhadap dakwaan yang dibuat dalam akuan berkanunnya (SD) terdahulu.

Dalam SD itu, Yusoff mendakwa dia menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah semasa kejadian yang didakwa dilakukan oleh Anwar pada 2 Oktober 2018 di rumahnya di Segambut.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS