Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Kimanis peluang akhir rakyat Sabah tolak PSS

PRK KIMANIS | Pada jejak kempen terakhir sebelum pengundian esok hari, kedua-dua parti bertanding, BN dan Warisan mengadakan ceramah kelompok bagi menarik sokongan pengundi.

BN menampilkan bekas perdana menteri Najib Razak dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan di atas pentas ceramah malam ini. 

Najib Razak ketika berucap berkata pilihan raya kecil ini merupakan peluang akhir rakyat untuk menolak pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang akan bermula pada Jun nanti.

"Tuan-tuan bukan Kimanis saja, anda mewakili seluruh Sabah.

"Rakyat Sabah meletakkan harapan atas tuan-tuan bahawa kebetulan PRK Kimanis peluang terakhir untuk kita katakan tidak pada PSS.

"Kalau tidak mula pertengahan tahun ini kerajaan Warisan nak laksanakan PSS," katanya di hadapan 500 hadirin ceramah di Kimanis.

MP Pekan mendakwa terdapat kemungkinan akan berlaku projek memberikan kad pengenalan kepada warga asing melalui PSS.

"Saya tidak boleh tolak kemungkinan project IC 2.0 boleh dilaksanakan.

"Ini erti pendatang akan diberi taraf sama seperti rakyat Sabah, kewarganegaran, anak-anak mereka beratusan ribu jadi warganegara, bayangkan landscape satu dua generasi akan datang.

"Tuan-tuan tidak jadi penentu, tapi yang jadi penentu adalah pendatang yang hari ini melalui PSS," katanya lagi.

Najib juga mengaitkan PSS dengan pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

"Ingat dulu Tanduo apa berlaku, mereka bawa senjata, mereka bunuh orang tempatan pasukan keselamatan, dengan paling kejam sakali, mayat-mayat mereka telah dicincang oleh mereka, ada cungkil mata polis, berlaku tidak, berlaku.

"Jangan lupa, Tanduo kedua boleh berulang kalau kita tak tolak PSS, tolak itu jaga keselamatan," dakwanya.

Malam ini BN mengadakan ceramah kelompok di 19 pusat daerah mengundi dan waktu berkempen akan tamat pada jam 12 malam ini.

Hujan lebat melanda Kimanis pada pukul 7 malam tadi selama kira-kira sejam menjadikan jalanan berlecak dengan lumpur di tempat majlis ceramah.

KDN: PSS bukan jaminan jadi warga negara

PSS ialah dokumen baru Jabatan Imigresen yang dikeluarkan terhadap pendatang, bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini menegaskan PSS tidak akan membolehkan pendatang atau rakyat asing memperolehi taraf kerakyatan.

"Kerajaan ingin menegaskan bahawa PSS bukan untuk memberikan kewarganegaraan.

"Kerajaan juga menegaskan bahawa status pemegang PSS adalah kekal sebagai warga asing dan bukan satu jaminan untuk diberikan Permit Masuk, Taraf Pemastautin Sementara, Pemastautin Tetap atau Kewarganegaraan," kata kenyataan KDN itu.

PSS dikeluarkan dalam bentuk kad dengan ciri keselamatan biometrik, termasuk cap jari dan gambar pemegangnya, ciri-ciri yang tidak ada pada ketiga-tiga dokumen IMM13, Sijil Banci dan kad Burung-Burung.

Sementara itu, Presiden Warisan yang juga ketua menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal hadir ceramah kelompok di rumah anggota Warisan, Awang Besar Ahmad, 53.

Lebih dari 70 anggota keluarga Awang berkumpul di ruang tamu dan mendengar Shafie berucap.

Apabila ditanya untuk menyimpulkan kempen Warisan, Shafie berkata berdasarkan isyarat daripada bahasa badan pengundi beliau yakin Warisan akan menang esok.

"Ini satu petanda yang baik. Saya juga menyaksikan orang yang menyertai Warisan dan bukan dalam bilangan yang kecil.

"Bukan persoalan tentang siapa yang akan menang PRK ini. Saya yakin kami (Warisan) akan menang," katanya.

Esok lebih 29, 644 pengundi Parlimen Kimanis akan membuat keputusan sama ada memilih calon BN Mohamad ataupun calon Warisan Karim Bujang sebagai wakil rakyat baru mereka.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS