Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images

LANGSUNG | Hari ini merupakan hari penentuan bagi seramai 29,664 pengundi di parlimen Kimanis untuk memilih wakil rakyat mereka yang baru.

Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 68 saluran dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang ini.

Malaysiakini melaporkan proses pengundian ini secara langsung:


Pengundian ditutup

5.00 petang - Pengundian untuk PRK Kimanis ditutup. Pengiraan undi bermula.

Peratus keluar mengundi setakat jam 4 petang ialah 76.14 peratus. Ini bermakna peratus keluar mengundi akhir kemungkinan mencecah 80 peratus, sekali gus paling tinggi dalam 10 PRK yang berlangsung selepas PRU ke-14.

PRK terakhir yang menyaksikan jumlah keluar mengundi yang tinggi adalah PRK Rantau pada April tahun, iaitu sebanyak 79.31 peratus.

Terima kasih kerana mengikuti liputan langsung pengundian PRK Kimanis bersama Malaysiakini.

Untuk liputan langsung keputusan PRK, ikuti kami di pautan ini: (klik di sini)


Bung Moktar syak ada pembelian undi

4.29 petang - Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin menimbulkan kebimbangan berlaku pembelian undi.

Beliau mendakwa aktivis BN melihat kira-kira 100 orang beratur di sebuah rumah di Bongawan, Kimanis.

"Sekitar 100 orang sedang berbaris di sebuah rumah hari ini, saya minta mereka (pekerja parti saya) untuk mengambil gambar. Saya tidak tahu sama ada mereka (yang beratur) dapat ganjaran atau tidak," katanya.

Ditekan sama ada ia melibatkan wang, Bung berkata dia tidak pasti tetapi mempersoalkan mengapa orang akan berbaris di sebuah rumah pada hari pengundian.

 "Kami tidak mempunyai bukti kerana kami tidak dibenarkan masuk tetapi kami mengesyaki (ada pembelian undi) sebab itulah kami menghantar peguam kami membuat laporan polis," katanya.


BN gesa penyokong keluar mengundi

3.45 petang - Sumber BN mempercayai bahawa lebih ramai penyokong BN keluar mengundi berbanding dengan peratusan keluar mengundi.

Mereka menganggarkan jumlah penyokong BN sekitar 7.5 peratus lebih tinggi daripada purata.

Bagaimanapun, ia masih kurang daripada sasaran mereka untuk 80 peratus keluar mengundi.

Pengundian hanya kira-kira lebih sejam saja lagi.

 


Lebih 70 peratus keluar mengundi

3 petang: Sebanyak 70.20 peratus keluar mengundi setakat jam 3 petang.

Peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil sebelum ini di Tanjung Piai adalah sebanyak 74.43 peratus.

Berbaki dua jam lagi, jumlah peratusan keluar mengundi di Kimanis mungkin mengatasi PRK Tanjung Piai.

Jumlah pengundi juga jauh lebih tinggi berbanding pilihan raya kecil Sandakan.

Sandakan, yang merupakan pilihan raya kecil pertama di Sabah selepas pilihan raya umum 2018, hanya menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 54.4 peratus.

 


Shafie puas hati perjalanan pilihan raya

12.30 tengah hari: Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berpuas hati dengan proses pengundian yang berjalan lancar pagi ini.

 

Beliau berharap proses demokrasi ini berlangsung dengan tenang bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab.

"Kita minta semua turun mengundi menunaikan tanggungjawab," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Kelatuan bagi memantau perjalanan pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.


SPR terima empat aduan kesalahan pilihan raya

10.34 pagi: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi Twitter memaklumkan menerima empat aduan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen.

Satu kesalahan membabitkan pemasangan bahan kempen pada premis awam yang didakwa dilakukan Warisan.

Satu lagi kesalahan didakwa dilakukan BN iaitu memasang bahan kempen di luar kawasan parlimen Kimanis.

Dua lagi fidakwa dilakukan BN membabitkan pemasangan bahan kempen yang melanggar Seksyen A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

SPR juga memaklumkan sebanyak 28 laporan polis telah dibuat setakat jam 8 pagi ini.

Sementara itu, SPR berkata sebanyak 31.22 peratus telah keluar mengundi setakat jam 10 pagi. 

Ringkasan MAKLUMAT Laporan Kesalahan Sepanjang Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.176 Kimanis, Sabah bertarikh kamu makin sukses 18 Januari 2020 pic.twitter.com/WfLXeYwpok & mdash; Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (@sprgovmy) 18 Januari 2020

 


Shafie lawat pusat mengundi

10.30 pagi - SMK Bongawan: Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan, Shafie Apdal melawat pusat mengundi dengan membonceng motosikal.

 


Najib kongsi video pengundi didakwa terima rasuah

9.30 pagi - Bekas perdana menteri Najib Razak berkongsi rakaman video yang pada asalnya disiarkan oleh Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki malam tadi.

Rakaman video itu menunjukkan seorang pengundi warga tua yang berasal dari Membakut mendakwa menerima sogokan RM385 dari Warisan pada malam sebelum mengundi.

 


Tiga kembar teruja

9.15 pagi - SK Our Lady of Fatima, Batu 6: Tiga pengundi kembar Zakaria Muhamud, Zaidi Muhamud dan Zaki Muhamud teruja dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di PRK Kimanis hari ini.

Ditanya mengenai harapan terhadap calon yang bertanding, Zakari berkata dia berharap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menjalankan tugas dengan amanah.

Pemuda berusia 34 tahun itu berharap agar lebih banyak lagi peluang pekerjaan dapat ditawarkan buat anak muda serta masalah pendatang tanpa izin dapat ditangani dengan berkesan.


9.14 pagi - SK Our Lady of Fatima, Batu 6 : Calon BN, Mohamad Alamin menunaikan kewajipannya sebagai salah seorang pengundi berdaftar di Kimanis.

Mohamad yang tiba dengan ditemani penyokongnya beramah mesra dengan orang ramai telebih dahulu sebelum mengundi.

Ketika ditemui media selepas itu, beliau meluahkan rasa berpuas hati dengan proses pengundian yang berlangsung setakat pagi ini.

Tambah Mohamad, beliau berharap proses pengundian berjalan lancar sehingga selesai.


9 pagi- SK Kimanis:  Calon Warisan, Karim Bujang tiba di pusat mengundi.

Kata Karim,  beliau gembira kerana telah menunaikan kewajipannya sebagai salah seorang pengundi di situ.

"Saya lega kerana dua minggu tempoh kempen telah berakhir," katanya kepada media.

Beliau berharap pengundi akan keluar awal untuk mengundi kerana hujan dijangka pada sebelah petang seperti diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia.


Ramai pengundi keluar awal

8.10 pagi - SK Mandahan: Hampir seratus pengundi sudah tiba di pusat pengundian Kimanis Mandahan.

Mereka beratur sambil menunggu giliran untuk mengundi.

Bercakap kepada Malaysiakini, Asbi Ahmad berkata beliau dibawa ke pusat mengundi itu bersama-sama pengundi lain oleh seorang pemandu.

Katanya, pemandu berkenaan diberikan RM50 sehingga RM60 wang sagu hati untuk bayaran petrol bagi mengambil pengundi.

"Dalam kes kami, pemandu membawa 10 pengundi ke pusat mengundi," kata petani berusia 58 tahun itu.

Beliau berkata bayaran itu dianggap berpatutan memandangkan daerah mengundi itu adalah besar dan sesetengah mereka tinggal sejauh 10 kilometer dari tempat mengundi.

"Selain itu, terdapat pengundi kurang upaya dan warga tua," katanya.

Beliau berkata sesetengah pengundi tinggal di luar Kimanis dan menetap sejauh 40 kilometer dari kawasan itu.

Namun, beliau enggan mendedahkan parti mana yang menampung kos pengangkutan untuk para pengundi berkenaan.

Asbi berkata beliau akan mengundi Warisan kerana mahukan pembangunan dan infrastruktur yang lebih baik, termasuk jalan berturap dan bekalan air yang bersih.

Katanya, beliau memberikan kepercayaan penuh kepada kerajaan untuk mengendalikan isu Pas Sementara Sabah (PSS) dan isu-isu pendatang asing.

"Tidak mungkin kerajaan melakukan sesuatu yang menindas rakyat," katanya.


Proses pengundian bermula

7.30 pagi: Proses pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Kimanis bermula secara rasmi.


PRK Kimanis menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon BN Mohamad Alamin dan Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah. 

BN disokong oleh PAS dan parti pembangkang di Sabah manakala Warisan mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH).

Kempen PRK Kimanis bermula pada 4 Jan dan berlangsung selama dua minggu.

Pilihan raya kecil ini diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah Aman di Kimanis pada 2018 dengan alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mematuhi prosedur pilihan raya.

Anifah, yang mewakili BN, memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau memperolehi 11,942 undi berbanding Karim yang memperolehi 11,786 undi, manakala seorang lagi calon, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi.

Terdapat seramai 29,664 pengundi yang layak mengundi dalam pilihan raya kecil ini.

 

Lihat Komen
ADS