BERITA

Polis Kelantan siasat kes dua Mercedes Benz berlumba

N Faizal Ghazali

Diterbitkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan mengesan dua pemandu kereta mewah jenis Mercedes Benz yang didakwa terlibat dalam perlumbaan haram di Jalan Kubang Kerian ke Pasir Hor, Kota Bharu, pada Jumaat lalu.

Ia susulan penularan video berdurasi 2 minit 28 saat di media sosial yang memaparkan gelagat sekumpulan individu dan dua buah Mercedes Benz berwarna kuning yang didakwa terlibat dengan lumba haram.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

"Kita akan siasat terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada.

"Mengadakan perlumbaan haram di jalan raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan didenda minumum RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, video tersebut dikongsi seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Dhanice Percy yang turut mendakwa salah seorang pemilik kereta mewah itu merupakan seorang usahawan kosmetik.

Katanya, kejadian itu berlaku pada 17 Januari lalu pada jam 2 pagi, malah mereka yang terlibat dikatakan turut membuat sekatan jalan raya bagi membolehkan lumba haram itu dilangsungkan.

 

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.