mk-logo
Berita
Ramasamy, naib presiden PKR pula kecam Syed Saddiq
Diterbitkan:  Jan 21, 2020 9:13 PM
Dikemaskini: 2:05 PM

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mengecam Syed Saddiq Abdul Rahman kerana mengkritik beliau dan beberapa pemimpin PH lain kerana tak habis-habis bercakap mengenai isu peralihan kuasa.

Tanpa selindung, beliau berkata Ketua Pemuda PH sepatutnya "merapatkan jurang" dan tidak mempersoalkan hak demokratik mereka untuk meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menghormati perjanjian menyerahkan kepimpinan negara kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Tiada siapa pun yang memaksa Mahathir untuk undur diri sekaligus, tetapi mahu beliau menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada kepimpinan berikutnya iaitu Anwar," kata Ramasamy dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Adun DAP, perjanjian PH sebelum pilihan raya umum lalu adalah untuk Dr Mahathir menjadi perdana menteri sementara selama dua tahun.

"Tetapi malangnya, sehingga ke hari ini, Majlis Presiden PH masih belum menetapkan tarikh peralihan kuasa. Sekarang ini siapa yang salah?" Soalnya.

Ramasamy berkata suatu tarikh perlu ditetapkan walaupun Mahathir mahu melepaskan jawatan selepas sidang kemuncak negara-negara Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur pada November.

"Apa yang salah dalam menentukan tarikh muktamad bagi peralihan kuasa?

"Saya yakin Mahathir tidak mempunyai masalah dengan ini, tetapi Syed Saddiq seolah-olah tekinja-kinja untuk mendapat perhatian daripada Mahathir," katanya lagi.

Ramasamy juga tidak bersetuju dengan Syed Saddiq yang berkata gesaan tarikh penggantian kepimpinan akan menyebabkan ketidakstabilan atau menghalang kemampuan Mahathir untuk mentadbir negara.

"Jika Syed Saddiq percaya kepada demokrasi, beliau mesti menghormati hak untuk berbeza pendapat," katanya.

Beliau juga berkata mustahil PH dapat menang PRU14 tanpa gerakan reformasi yang dicetuskan Anwar dua dekad dahulu.

"Saya fikir Syed Saddiq hanyalah pendatang baru untuk memahami dan menghayati dinamik politik era reformasi, apalagi memahami konteks di mana Mahathir dijadikan perdana menteri sementara.

"Mahathir menyediakan kepimpinan penting dalam ketiadaan Anwar untuk berhadapan dengan BN. Rakyat Malaysia yang mahukan perubahan menyokong Mahathir.

"Selepas kalah lima pilihan raya kecil, terdapat keperluan untuk menyelesaikan perkara peralihan. Majlis Presiden PH mesti menangani persoalan ini," kata Ramasamy.

'Logik Syed Saddiq ke laut'

Sementara itu, Naib Presiden PKR Chang Lih Kang menyangkal dakwaan Syed Saddiq bahawa pihak yang mendesak Mahathir telah mengingkari persetujuan bersama dalam PH.

"Yang sokong peralihan kuasa semua sekutu Anwar? Lojik Syed Saddiq ke laut.

"(Pihak yang) minta peralihan kuasa Mei 2020, Syed Saddiq kata membelakangkan konsensus PH.

"Tapi apa konsensus PH? Dua tahun atau tiada tarikh? Kalau dua tahun, betul lah Mei 2020. Kalau tiada tarikh, maka bila-bila masa boleh lakukan peralihan kuasa. Apa jawapan bro Syed?" Ciapnya di Twitter.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudian, Chang (gambar, atas) menjelaskan walaupun Syed Saddiq bertegas mengenai konsensus PH, namun menteri itu tidak mengucapkan sepatah kata pun apabila sesetengah pihak mendesak Mahahir supaya berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

"Bukankah meminta Mahathir untuk berkhidmat sampai habis penggal (PH) juga bertentangan dengan konsensus?" Soalnya.

Tanpa mengambil kira Mahathir mahu terus berkhidmat sehingga selesai sidang Apec, Chang berkata perlu ada butiran bila peralihan itu akan berlak.

"Walaupun tidak ada tarikh yang tepat, sekurang-kurangnya, bulan bila perlu dijelaskan," tambahnya.

Pada temu bual bersama Reuters bulan lepas, Mahathir berkata beliau akan menghormati ikrarnya untuk menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar.

"Saya sudah berjanji akan meletak jawatan apabila saya telah menyelesaikan masalah-masalah besar yang ditinggalkan oleh kerajaan dulu.

"Saya juga telah berjanji akan meletak jawatan dan memberikan kepimpinan kepada calon yang telah dinamakan oleh gabungan (PH)," katanya.

"Saya sudah berjanji untuk menyerahkan (kuasa) dan saya akan menerima bahawa saya fikir perubahan mendadak sebelum sidang Apec akan mengganggu.

"Setakat yang saya tahu, saya akan meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan kepadanya.

"Jika orang tidak mahu beliau, itu urusan mereka, tetapi saya akan melaksanakan bahagian saya pada janji itu ... tanpa mengira apa-apa tuduhan. Saya sudah berjanji, saya akan kotakan janji saya," kata beliau lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS