Duit RM50,000 exco untuk rakyat Kelantan, kata TMB
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, menjelaskan ada sebab mengapa "pemberian khas" untuk exco negeri itu - bernilai RM50,000 setiap seorang - dimasukkan ke akaun peribadi mereka.
Kata Mohd Amar, wang berkenaan bukan untuk kegunaan sebarang program atau program, sebaliknya akan disimpan sebelum diberikan kepada rakyat di seluruh Kelantan yang memerlukan.
"Oleh sebab itu kita masukkan ke akaun peribadi, sebab ia bukan duit projek atau untuk jalankan apa-apa program, tapi duit untuk exco berikan kepada rakyat yang memerlukan bantuan di seluruh negeri.
"Duit ini tidak ada kena mengena dengan peruntukan RM400 juta itu. Kita tidak usik apa pun. Kita ada surplus (lebihan).
"Banyak kali saya katakan (ada surplus), tapi masih ada yang sengaja cari isu," katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.
Malaysiakini pada 22 Jan lalu melaporkan, semua exco dan menteri besar Kelantan diberikan "pemberian khas" bernilai RM50,000 dan ia disahkan Mohd Amar sendiri.
Kata Adun Panchor itu, ia bukanlah bonus seperti jangkaan sesetengah pihak sebaliknya cuma pemberian khas.
"Ini bukan bonus kerana kita tidak layak menerima bonus sebagaimana kakitangan awam. Ini adalah pemberian khas susulan pencapaian pendapatan kerajaan negeri," katanya.
Supaya tak putus bantu
Ia menimbulkan kritikan daripada sesetengah pihak selepas ia dilaporkan tidak lama sesudah Kelantan mengesahkan pembelian 14 kereta Mercedes Benz untuk menteri besar, semua exco dan setiausaha kerajaan negeri.
Bagaimanapun beberapa pemimpin PAS tampil membela pemberian khas tersebut dan ada yang menganggapnya ia sekadar "laluan" semata-mata untuk diberikan kepada rakyat.
Malah portal Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan turut menyiarkan cacatan peribadi salah seorang pegawai mereka yang menganggap pemberian khas "habis kut tengah jalan jer".
Adun Tendong, Rozi Muhamad, malah berpendapat jika diikutkan keadaan yang dihadapi wakil-wakil rakyat di Kelantan pemberian tersebut sepatutnya diberikan lebih tinggi.
"Sebab itu kalau saya boleh persoalkan di sini, kenapa kerajaan hanya luluskan RM50,000 sahaja? Sepatutnya bagi RM100,000 atau lebih lagi," katanya.
Baca Husam: PAS ibarat tutup bangkai gajah dengan kopiah
Mohd Amar berkata pemberian khas tersebut adalah bantuan sementara untuk kegunaan exco menyantuni rakyat Kelantan.
"Sepatutnya kerajaan beri RM200,000 kepada setiap exco untuk menguruskan rakyat setiap tahun yang dipanggil pull.
"Biasanya apabila tiba Oktober, peruntukan tersebut akan habis sepenuhnya. Tidak sampai setahun, jadi kita berbaki beberapa bulan untuk menunggu bajet seterusnya.
"Kita buat mesyuarat untuk bincang mengenai hal ini dan setuju RM50,000 diberikan sebagai wang pendahuluan sementara kepada exco-exco supaya mereka tidak putus membantu rakyat," katanya.
Mohd Amar yang juga naib presiden PAS juga menjelaskan ada negeri lain yang memberikan bantuan lebih besar kepada exco masing-masing, iaitu lebih RM200,000.
"Exco kita (di Kelantan), kalau peruntukan tak cukup, mereka guna duit sendiri," katanya.
Beliau juga memberitahu, wang tersebut memang sudah ada dalam belanjawan negeri , iaitu di bawah Perbelanjaan Luar Jangka daripada Wang Yang Disatukan.



