Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masjid Negara anjur solat hajat mohon perlindungan Allah

Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Isyak malam ini bagi memohon agar Malaysia dilindungi Allah daripada wabak koronavirus.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya berkata justeru Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri disaran menganjurkan solat hajat dan doa selamat di masjid di bawah seliaan masing-masing susulan pengesahan jangkitan pertama kes koronavirus di Malaysia melibatkan tiga pelancong dari China yang disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini.

Jakim menjemput umat Islam untuk turut serta menunaikan solat hajat dan memperbanyakkan doa bagi memohon perlindungan Illahi, tambah Paimuzi.

Di samping itu umat Islam perlu mengikuti saranan amalan kesihatan seperti yang disyorkan oleh KKM, katanya lagi.

Sementara itu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut menyarankan kepada semua masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat hajat selepas solat Isyak bermula hari ini bagi tujuan yang sama.

"Semoga Allah memelihara negara daripada sebarang penularan wabak penyakit yang tidak diingini serta memudahkan pihak berkuasa dalam menangani segala urusan yang berkaitan dengan perkara ini," menurut kenyataan media oleh Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jawi, hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS