Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah benarkan permohonan AG ketepi prosiding menghina

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk mengenepikan kebenaran yang diberikan kepada Mahkamah Koroner untuk meneruskan prosiding meghina mahkamah terhadapnya.

Thomas membuat rayuan untuk mengenepikan kebenaran terhadap permohonan Mohd Kassim Abdul Hamid, bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, yang difailkan tahun lalu.

"Mahkamah berpandangan rayuan yang dibuat ada merit dan akan dibenarkan," kata Hakim Mahkamah Tinggi Meor Hashimi Abd Hamid.

Dalam penghakimannya, Meor berkata antara perkara yang diambil kira ialah koroner didapati gagal melihat semua fakta material berkaitan dakwaan tindakan menghina oleh Thomas.

Katanya, responden didapati menyatakan fakta secara terpilih iaitu yang menyokong permohonan prosiding menghina mahkamah yang dibuatnya terhadap Thomas.

Selain itu, beliau berkata responden juga gagal menarik perhatian koroner terhadap keseluruhan kenyataan media Thomas yang dikelarukan pada 28 Mei 2019.

Sebaliknya, kata hakim, koroner hanya mengambil kira beberapa perenggan daripada kenyataan itu, terutama berkenaan peranan peguam Syazlin Mansor, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan juga keluarga Allahyarham Adib.

Peguam kepada Mohd Kassim, Haniff Khatri Abdullah kemudian memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini.

"Kami dinasihati jika keputusan hari ini tidak berpihak kepada keluarga Adib, pihak keluarga akan meneruskan dengan rayuan," katanya.

Haniff mengambil maklum akan persoalan yang dibangkitkan berkenaan beban pembuktian dan kes menghina serta pada afidavit yang dihantar.

Pada 16 Julai lalu, Kassim memfailkan permohonan ex-parte untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas berkenaan afidavit yang membayangkan punca kematian Adib bukan daripada kecederaan akibat dakwaan serangan.

Thomas memfailkan afidavit itu kira-kira tiga bulan sebelumnya, iaitu pada 3 April, ketika inkues kematian Adib masih berlangsung.

Lihat Komen
ADS