Pemuda Umno lapor polis, tuntut Syed Saddiq mohon maaf
Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berikutan dakwaan menteri itu dikepung penyokong Umno dalam satu insiden di Ulu Tiram, Johor malam tadi.
Ketua Pemuda Umno, Aysraf Wajdi Dusuki berkata, sayap parti itu juga akan memfailkan saman terhadap menteri belia dan sukan itu sekiranya gagal memohon maaf.
Sehubungan itu Asyraf menggesa polis menyiasat menteri berkenaan di bawah Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah, dan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, barisan peguam dari Pemuda Umno juga akan menghantar notis tuntutan kepada Syed Saddiq agar mengeluarkan perkataan fitnah terhadap Umno daripada status Facebook dan memohon maaf secara terbuka.
"Jika gagal, Pemuda Umno akan memfailkan saman fitnah di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Saddiq dan keluarganya menghadiri perjumpaan Armada di sebuah restoran di Ulu Tiram malam tadi, bersama-sama anggota Pemuda, wanita dan sayap bahagian serta keluarga mereka.

Syed Saddiq berkata, sekumpulan kira-kira 200 orang menyerbu majlis itu dan mengepung beliau sebelum menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat.
Dalam hantaran Facebook pagi ini, beliau mendakwa kekecohan itu dipercayai dilakukan penyokong Umno.
Dalam rakaman video yang tular di media sosial, kumpulan itu didengar menjerit agar anggota parlimen Muar itu meninggalkan negeri ini.
Syed Saddiq juga mendakwa beliau, keluarganya, dua wakil rakyat dan beberapa individu lain terpaksa "melompat pagar" untuk melepaskan diri.
Asyraf bagaimanapun menafikan penglibatan Umno dalam kejadian itu.

