Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, kini berdepan dengan risiko muflis selepas beliau masih gagal menjelaskan saman yang sepatutnya dibayar kepada timbalan pengerusi Amanah negeri itu, Mohammad Nizar Jamaluddin.

Razman yang juga bekas bendahari PAS Pusat sepatutnya membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 selepas disabitkan bersalah memfitnah Mohammad Nizar.

Fitnah tersebut dibuat melalui kenyataan yang disiarkan akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Jun 2015 melalui rencana bertajuk "Pendekatan Nizar mirip DAP".

Peguam Mohammad Nizar, Mohd Fitri Asmuni, berkata sehingga hari ini tiada sebarang bayaran dibuat oleh Razman kepada anak guamnya.

"Keseluruhan yang perlu dibayar oleh Razman kepada sebanyak RM254,150 ribu. Itu sudah termasuk kos dan faedah lewat bayar sekali.

"Kami sudah menghantar surat kepada peguam Razman sebelum ini dan meminta beliau membayar jumlah penghakiman tersebut selewat-lewatnya pada 29 Jan lalu.

"Tetapi, mengikut rekod saya setakat hari ini, Razman belum bayar apa-apa pun lagi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Nak buat macam mana

Menurut Mohd Fitri, selepas berbincang dengan Mohammad Nizar, pihaknya bercadang untuk memulakan tindakan untuk mendapatkan pengisytiharan agar Razman muflis.

Sebelum ini Razman - yang terkenal sebagai salah seorang pemimpin pembangkang yang lantang mengkritik PH - gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan hakim yang memihak kepada Mohammad Nizar.

Hakim Mahkamah Rayuan, Dr Badariah Sahamid, pada Nov 2019 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum itu yang memerintahkan Razman membayar RM200,000 kepada Mohammad Nizar.


Baca Wawasan PAS kutip infak RM10j sebulan


Sementara itu Razman ketika dihubungi Malaysiakini memberi gambaran beliau akan menyelesaikan bayaran tersebut.

Bagaimanapun, kata Razman, tidak dapat dipastikan bila bayaran itu boleh dibuat.

"Nak buat macam mana dah tak ada duit, tapi hutang tetap kena bayar. Saya akan bayar tapi tak tahu bila lagi," katanya ringkas.

Untuk rekod, Razman ialah Adun Gunung Semanggol, manakala Mohammad Nizar Adun Sungai Rapat.

Langkah terkini yang diambil pihak Mohammad Nizar memungkinkan Razman hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Untuk rekod pada 15 Nov tahun lalu Razman memberitahu Malaysiakini, keputusan berkenaan dibuat oleh "mahkamah dunia" dan beliau akan menunggu bil daripada pihak Mohammad Nizar.

"Ya... biasalah, tak ada apa. Tak ada masalah apa, insya-Allah. Kita tunggu bil depa (mereka).

"Kita buat kerja Allah Taala, Insya-Allah tak ada apalah," katanya.

Lihat Komen
ADS