Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib buat pusingan U, nafi berhubung Jho Low urusan akaun

KES SRC NAJIB | Najib Razak hari ini membuat pusingan U di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan menafikan beliau ada berhubung dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berkenaan pengurusan akaun peribadi beliau.

Pada 9 Jan lalu, bekas perdana menteri itu mengaku di Mahkamah Tinggi bahawa beliau beberapa kali ada berhubung dengan Jho Low berkenaan operasi akaun peribadi Ambank beliau.

Najib mengakui bahawa Jho Low pada masa-masa tertentu berhubung dengannya untuk memastikan transaksi kad kredit dan ceknya dapat ditunaikan.

Najib membuat pengakuan tersebut semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan semula oleh peguam belanya, Harvinderjit Singh, hari ini, Ahli Parlimen Pekan berusia 67 tahun itu, berkata, beliau hanya berhubung dengan Jho Low berkaitan dengan sumbangan derma oleh Arab Saudi ke dalam akaunnya.

Harvinderjit: Dalam proses perbicaraan tahun lalu, bekas pengurus perhubungan Ambank, Joanna Yu menyatakan hubungan dengan Jho Low dalam mengurus akaun anda...Jho Low menerusi log perbualan dengan Joanna mengambarkan bahawa dia telah menerima teks daripada anda berhubung kad kredit (perbelanjaan). 

Adakah anda berhubung dengan Jho Low mengenai pengurusan akaun anda ?

Najib: Tidak

Harvinderjit: Mengapa Joanna berurusan dengan Jho Low walaupun Jho Low tidak mempunyai kuasa untuk mengurus akaun anda?

Najib: Anda harus bertanya hal ini dengan Joanna.

Memberi keterangan membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, Najib berkata kebanyakan masa beliau berurusan dengan bekas ketua setiausaha sulitnya, Allahyarham Azlin Alias berhubung akaun banknya.

Beliau turut berkata Azlin mungkin berhubung dengan Jho Low mengenai akaun banknya.

Di akhir prosiding, Harvinderjit memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memanggil seorang kakitangan Ambank, Krystle Yap Wy-Sze untuk memberi keterangan esok ketika Najib dijangka menyelesaikan keterangannya sejak 3 Dis lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

- Bernama

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

 

Lihat Komen
ADS