Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS secara dasar setuju 'Pakatan Nasional'
Diterbitkan:  Feb 7, 2020 1:41 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

PAS secara dasarnya bersetuju dengan pembentukan 'Pakatan Nasional' sebagai gagasan baru kerajaan perpaduan bagi mengembalikan negara ke landasan asalnya, namun ia mestilah mengikut lunas demokrasi.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai pakatan itu sebaliknya ketika ini PAS dan Umno memberi fokus kepada Muafakat Nasional.

"Sehingga hari ini masih terlalu awal untuk kita buat keputusan, perlu teliti satu persatu, langkah awalnya kita adakan Muafakat Nasional untuk satukan kuasa politik Melayu Islam, ini yang utama.

"Satu keperluan dan mesti ditingkatkan dari semasa ke semasa, masalah nama tak timbul yang penting ada konsep muafakat," katanya ketika ditemui media di Ruslia, Terengganu, hari ini.

Hadi berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai spekulasi pembentukan Pakatan Nasional yang didakwa dirintis Bersatu dan Umno.

Ditanya jika PAS menyokong cadangan penubuhan Pakatan Nasional, Hadi secara ringkas menjawab: "Itu pakatan kita menyokong, dasar kita menyokong."

Pakatan Nasional menimbulkan spekulasi sebagai satu gabungan politik Umno, PAS dan Bersatu.

Spekulasi itu tercetus pada 3 Feb lalu apabila Anggota Majis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendedahkan mengenai perkara tesebut.

Lokman tampil membidas presidennya sendiri, Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Saya amat malu hari ini kerana mempunyai seorang 'presiden yang lemah' dan tiada jati diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengepil petikan rakaman audio sepanjang tiga minit 18 saat, yang didakwanya diucapkan Zahid ketika muncul dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional Umno.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pula dalam satu kenyataannya mengingatkan parti itu supaya tidak "terpesona dengan nafsu" berhubung spekulasi kerajaan campuran membabitkan Bersatu, Umno dan PAS.

Hari ini, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dijangka akan memuktamadkan isu kerjasama dengan Bersatu.

Dalam pada itu, Hadi berkata sememangnya ada keperluan untuk membentuk satu pakatan ataupun gerakan baru memandang kerajaan PH kini semakin bercelaru dan didominasi bukan Islam.

Katanya, sebagai sebuah negara berbilang kaum yang majoritinya kaum Melayu beragama Islam, Putrajaya sepatutnya dikuasai oleh bumiputera.

"Kuasa politik Melayu, Islam mesti mendominasi pemerintah hari ini, kita lihat ada "kecanggungan" (kepincangan) dalam PH hari ini.

"Kita melihat kuasa politik orang Melayu Islam terancam kerana PH didominasi bukan Islam," katanya.

Tambah Hadi lagi, sebarang perubahan kerajaan perlulah melalui proses demokrasi dan tidak perlu dilakukan secara gopoh.

Katanya, banyak cara proses demokrasi yang boleh dipraktikkan di negara ini untuk menukar kepimpinan negara, antaranya melalui undi tidak percaya.

Lihat Komen
ADS