Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sokongan M'sia isu Palestin unik kerana melibatkan pelbagai agama'

Sokongan Malaysia terhadap perjuangan Palestin diperkuat menerusi penyertaan anggota parlimen daripada pelbagai latar belakang agama, kata Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Bercakap kepada pemberita, Ariff berkata pengalaman Malaysia unik berbanding negara lain yang turut menyokong perjuangan Palestin dan menentang keganasan Israel.

"Biasanya isu Palestin atau Al-Quds dilihat dari sudut pandangan umat Islam lawan bukan Islam atau negara Islam berbanding Israel.

“Di Malaysia kita ada peluang untuk mengubah perspektif tersebut,” jelas Ariff pada sidang media selepas acara pembukaan Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (LP4Q) di Kuala Lumpur.

Parlimen Malaysia adalah penasihat kepada persidangan global yang disokong oleh 700 Ahli Parlimen dari 70 buah negara itu.

Sementara itu, sebagai sebahagian daripada fokus utama parlimen, Ariff berkata Jawatankuasa Persahabatan Palestin-Malaysia dibentuk dengan penyertaan beberapa wakil rakyat daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya.

"Itulah kekuatan kita, saya harap kumpulan persahabatan itu akan terus berusaha untuk memenangi hati dan minda ahli parlimen di seluruh dunia.

"Begitu banyak ketidakadilan berlaku di Palestin dan ahli parlimen mesti bertindak bersama secara kolektif,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyampaikan ucapan pembukaannya, manakala Presiden PKR, Anwar Ibrahim dijadual menutup sidang itu esok.

Perbincangan oleh penceramah dan perwakilan mengenai tema "Ke arah Strategi Untuk Membela Al-Quds / Baitulmuqaddis" diadakan berdasarkan keputusan Presiden Washington Donald Trump, baru-baru ini yang memulakan proses pelan damai yang sebahagian besarnya tidak dipersetujui oleh Palestin dan sekutunya.

Lihat Komen
ADS