Paling Popular
Terkini

Thailand hari ini mengesahkan tujuh kes baru novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), termasuk seorang rakyat negara itu yang dibawa keluar pada Selasa dari bandar Wuhan, China yang teruk dilanda wabak itu, menjadikan jumlah mangsa dijangkiti setakat ini ialah 32 orang, kata seorang pegawai kesihatan awam.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Suwannachai Wattanayingcharoenchai berkata kes tambahan yang disahkan itu terdiri daripada tiga rakyat Thailand dan empat rakyat China.

Beliau berkata seorang mangsa yang dijangkiti virus itu adalah antara 138 rakyat Thailand yang dibawa pulang ke negara itu pada 4 Feb.

Pesakit itu dimasukkan ke Hospital Chonburi semalam selepas menunjukkan gejala koronavirus dan keputusan ujian makmal yang diterima pagi ini adalah positif bagi penyakit tersebut.

“Dua lagi rakyat Thailand yang dijangkiti didapati mempunyai kontak dengan pelancong,” katanya dalam satu taklimat kepada media di Bangkok hari ini.

Empat pesakit rakyat China adalah terdiri daripada tiga ahli keluarga kes yang dilaporkan sebelum ini manakala seorang lagi adalah pelancong yang berasal dari kawasan berhampiran Wuhan, kata Suwannachai.

Daripada sejumlah 32 kes koronavirus yang disahkan di Thailand, 23 adalah rakyat China manakala sembilan lagi terdiri daripada penduduk tempatan.

Sepuluh pesakit telah dibenarkan keluar manakala 22 masih berada di hospital.

- Bernama

Lihat Komen
ADS