Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terlalu banyak ‘politiking’ Malaysia perlu ‘confidence vote’ - Mat Hassan
Diterbitkan:  Feb 10, 2020 6:43 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan meluahkan rasa kesal terhadap tahap permainan politik (politicking) yang menjadi-jadi di negara ini.

"Kebelakangan ini Malaysia menyaksikan terlalu banyak 'politicking’. Sehingga kita seperti terlupa bahawa negara ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang genting.

"Malaysia yang sebenarnya memerlukan ‘the confidence vote’ (undi percaya).

“Jika Malaysia gagal dalam menangani krisis keyakinan terhadap kemampuannya, Malaysia akan terus menjadi negara membangun yang biasa-biasa," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dibuat susulan PAS yang menyatakan rancangan untuk membawa usul undi percaya bagi menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad apabila Dewan Rakyat bersidang minggu hadapan.

Mohamad bukanlah pemimpin Umno pertama memberikan pandangan yang dilihat tidak berapa menyokong rancangan PAS itu.

Sabtu lalu, ketika mengulas cadangan undi percaya oleh PAS itu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata, partinya tidak perlu 'busybody' (menyibuk) dengan masalah Pakatan Harapan (PH).

Pelan radikal

Cadangan PAS ditimbulkan ketika spekulasi bahawa wujudnya usaha untuk mewujudkan pakatan baru yang hanya terdiri daripada penyokong dan pemimpin Melayu dan bumiputera, yang dikatakan turut membabitkan beberapa parti dalam PH.

Pakatan baru itu diura-urakan sebagai Pakatan Nasional.

Mengulas cadangan penubuhan Pakatan Nasional, Dr Mahathir, meskipun berterima kasih kepada PAS atas sokongannya, namun secara sinis berkata beliau kini "sudah (pun) menjadi perdana menteri".

Dalam kenyataannya, Mohamad mengingatkan bahawa Malaysia memerlukan pelan radikal untuk menangani kemampanan ekonomi, lebih-lebih lagi dengan menularnya wabak koronavirus.

Ini, katanya akan memberi kesan "sangat besar" serta melembapkan ekonomi dunia pada "skala yang tidak pernah terjangka" sebelum ini.

"Pertumbuhan ekonomi kita akan perlahan dan pelbagai sektor akan menghadapi tekanan terutama sekali sektor pelancongan dan perkhidmatan," katanya.

Beliau turut membangkitkan kekeruhan hubungan Malaysia dengan India kerana pendirian Mahathir dalam isu Kashmir, selain menyatakan Pakistan - yang berjanji membantu Malaysia dalam produk sawit- tidak boleh menjadi galang ganti (substitute) India sebagai rakan dagang negara.

Dua krisis besar

Katanya, harga minyak global juga akan kekal rendah, selain pelabur akan mengambil sikap "sangat berhati-hati" kerana kurangnya keyakinan terhadap kestabilan politik Malaysia dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Malah, katanya juga, setakat ini, Dasar Kemakmuran Bersama belum menampakkan pelaksanaan dengan agenda yang praktikal dan merangsang pertumbuhan.

"Malaysia sebenarnya berhadapan dengan dua krisis besar. Pertama, kita seperti tiada plan ekonomi yang kalis krisis (crisis proof). Kedua, kita tiada pasukan ekonomi yang benar-benar punya wibawa untuk merangsang ekonominya.

"[...] Berhentilah politiking. Malaysia memerlukan penyelesaian pelbagai masalahnya. Dan ia ada pada kita semua, bukan hanya pada sebahagian dari kita," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS